Sunday, September 10, 2017

Rantai

Hari itu, aku hanya berada di dalam kotak hitamku. Tiada apa yang aku lakukan. Kaku membilang hari.

Si dinding bersuara "Keluarkanlah si hitam itu dari dadamu. Ku lihat mukamu tidak ubah seperti meja yang tidak bernyawa itu". Pandangan ku beralih kepada meja berwarna merah jambu dihadapanku. Kaku, diam begitu.

Aku beralih kepada dinding. Soalannya yang tidak masuk akal itu aku hadam. Aku bertanya kepada si dinding "Kenapa perlu aku? Kenapa bukan Sang Pencipta yang keluarkan. Bukankah dia yang berkuasa untuk segalanya, bukankah dia akan membantu mereka yang betul-betul mahukannya?".

Dinding diam tidak berkata. Aku tekapkan telingaku dekat kepadanya. "Aku mahukan jawapan." ujarku.

Diam.

Di luar, burung-burung berkicau mendendangkan lagu ejekan. Satu demi satu terbang sambil ketawa. Sekali sekala aku menyelak langsir biru. Ku hanya mampu melemparkan pandangan kepada si bebas itu.

"Kamu tak apalah, tidak perlu berfikir."

Di luar kotak hitamku, terdapat seorang tua sedang bergembira. Berbaju hitam dan dapat dilihat bekas biru disekeliling lehernya.

"Marilah. Tamatkan segalanya dan kau akan gembira selamanya."

Di sudut lain, seorang lelaki tua berkopiah sedang berehat.

"Bertenang dahulu." Ujarnya lemah.

Aku mengalih pandanganku kepada si tua berbaju hitam. Kegembiraan jelas berada di situ. Aku cuba untuk mendekati si tua berbaju hitam.

*Prak*

Kaki ku tersangkut di situ. Aku tidak dapat pergi ke sana. Ku lihat dibawah, rupanya kaki ku dirantai. Aku cuba menjejaki dari mana rantai itu datang. Aku mengikutnya, rupanya puncanya berada di kerusi si tua berkopiah.

Aku mendekati si tua dan cuba untuk melepaskan rantai itu. Susah.

"Si muda, apa yang kau mahukan?"

"Aku nak lepaskan rantai ini"

"Rantai itu hanyalah ilusi wahai si muda. Kau yang letakkan rantai itu." Si tua berkata lemah. Belum sempat aku bertanya, dia menyambung "Kau mampu melepaskan segalanya kerana itu hanyalah dalam pemikiran kau. Aku tak dapat membantumu jika kawalan hati dan akalmu telah lemah. Aku hanya iman yang kecil. Lebih dalam kau cari, kuatlah aku."

"Jadi, kenapa kau lemah wahai si tua?"

"Kau lihat di sana, si tua yang bergembira itu. Hari demi hari ku lihat dia semakin sihat. Tubuhnya semakin muda, kekuatannya luar biasa."

Aku mengalih pandanganku ke arah sana. Ya, dia semakin muda. Si tua bergembira itu semakin muda.

"Boleh aku bertanya?"Ujar si tua, lemah.

"Ya. Silakan"

"Apa yang berlaku dalam kepalamu sekarang?"

Sunday, August 13, 2017

Setelah sekian lama

"Tulislah.." ujar seorang sahabat dalam perjalan pulang ke Kuala Lumpur.

Pelbagai gambaran di dalam kepala Pok Nik mula dimainkan. Berusaha keras dia memikirkan keunikan hidupnya. Satu-satu dia asingkan. 

Dia memandang keluar cermin kenderaan. 

"Adakah ambe dah beruboh?"

Tuesday, June 21, 2016

Lelaki semua sama

Seorang lelaki kelihatan sedang mundar mandir di bawah lot kedai. Dia mendongak kearah papan tanda kedai itu. Tapak kaki berkelip-kelip.

Air mukanya nampak seperti sedikit resah. Sesekali dia memandang pelanggan di kedai mamak sebelah semuanya sedang enak bercerita. Dia mencucuh sebatang rokok john kelabu. Dihembusnya perlahan tetapi penuh semangat. Jam Casio yang melingkar di tangannya menunjukkan pukul 2 pagi.

Dia melihat sekali lagi kearah tangga. Kakinya melangkah bersama nafasnya ditarik dalam-dalam sambil melangkah naik satu demi satu anak tangga menuju ke tingkat atas. Di ruang kedai atas, terdapat banyak pecahan-pecahan bilik yang bahagikan dengan kain tirai tebal.

Walaupun suasana di bawah kosong, tetapi lot kedai di atas sangat meriah. Dia melihat kiri dan kanan. Dahinya mengeluarkan sedikit peluh. Tidak banyak, tetapi cukup untuk membuatkannya rimas. Dia berjalan menuju ke sofa. Seorang lelaki keluar dari bilik, mukanya tersenyum. Di belakangnya seorang gadis rendah bersinglet hitam dan berskirt kelabu berjalan sambil mengira wang di tangannya. Lelaki tadi menoleh ke belakang dan mencium pipi gadis tadi. Gadis itu menolak manja sambil berjalan menuju ruang belakang kedai dan lelaki itu turun ke bawah.

"Bos. You mau yang mane? Tinggal tiga orang lagi. Kalau you mau yang lain you kena tunggu lor" Sapa seorang lelaki cina tua.

"Linda ada?" Dia balas ringkas.

"Linda lagi sepulow minit baru avalubel (available), lu mau ke?"

"Boleh. Boleh." Jawabnya sambil melihat jam Casionya.

Punggungnya dilabuhkan ke atas sofa merah berbentuk tangan. Dilihatnya televisyen yang pada ketika itu menayangkan cerita lakonan Jackie Chan. Rancangan itu agak menarik perhatiannya, kerana dia seorang peminat wayang aksi. Sesekali dia menjeling kearah lengannya.

"Hmmmmphh" Dia mendengus panjang.

"Zuuuuullllllllll"

Dia menoleh kebelakang. Wajahnya yang risau-risau tadi berubah menjadi sedikit manis ketika dia melihat wajah ceria Linda.  Dia mengukir senyuman, sambil matanya mencuri pandang kearah badan Linda. Belum sempat dia bercakap, Linda menarik tangannya dan membawa dia ke dalam satu bilik.

Biliknya berwarna merah lembut, disebelah katil terdapat meja kecil yang diletakkan bunga ros di dalam pasu jernih, di sebelahnya lilin kecil menyala, apinya menari-nari ditiup penghawa dingin, bau lavendar memenuhi setiap inci bilik tersebut. Linda senyum melihat Zul yang seperti malu-malu. Linda menggeliatkan badannya mahu membuka baju. Zul menghalangnya.

"Takpe, jangan buka. I nak bersembang je."

"You know right zul? Bersembang atau tidak, you hanya ade sejam and you have to pay me 180 okay?"

"Shh, i know babe. Don't kill this moment please. I kan customer tetap you."

Linda tersenyum. Dia merapati mukanya kearah Zul dan mencium pipinya. Dia menarik zul ke katil. Zul terbaring dan Linda pun turut berbaring di sebelah Zul.

"So, what happen zul?" Ujar Linda sambil bermain dengan rambut Zul.

"Nothing, i just nak cari tempat untuk berbual. I teman bercerita mengenai bulan dan bintang, tentang angin, laut, politik, peperangan, lawak bodoh, resipi masakan, cerita kanak-kanak. I mahukan cerita mengenai kehidupan."

Linda tersenyum. "Go on, pretty boy. Ape dalam kepala you? Are you on something?"

Zul menggeleng.

"You tahu Linda, i ada terbaca buku mengenai cinta orang zaman dahulu."

"Oh? Best ke buku tu?" Linda mengangkat keningnya seperti terkejut.

"Tak best langsung. I cuma tertarik dengan bunga-bunga ayatnya, tentang bagaimana dari bukunya itu mampu membuatkan i berfikir. Jika manusia tidak seharusnya bersama atas dasar kaum dan agama, mengapakah cinta itu perlu ada? Itu persoalan yang bermain dalam kotak fikiran i."

"Well, kalau buku tu mampu membuatkan you berfikir sedalam ini i rase buku itu takdelah seteruk yang you sangkakan?"

Zul terdiam.

"Mengapa perlu you berfikir sedalam itu jika you percaya cinta itu ada. You tahu, manusia bisa move on. Cinta datang dan pergi. You cakap you cinta, but what if you you tak dapat cinta you itu? You will turn your back and move on right? Cinta itu tak semestinya memiliki. Ramai yang datang sini atas dasar cinta. Mereka cintakan seks dan bukan pada jasad. Ada yang dah berkeluarga dan ada yang tidak berkeluarga, ada yang berseronok dan ada yang datang kerana kesedihan. Cinta itu luas. Jika you hidup abadi pun Zul, tak mungkin you dapat mencari maknanya"

Zul duduk bersila. Dia mengeluarkan kotak john yang hampir pecah di dalam poket seluarnya. Dia melihat wajah Linda dan gadis berambut merah itu menggangguk kepalanya memberi kebenaran kepada Zul untuk mencucuh rokok.

"Betul ape yang you cakap, tapi i masih buntu. Mungkin i tersilap untuk mengeluarkan persoalan ini tika bersama you."

"It's okay Zul. Orang yang nak buat loan dengan bank pun datang bersembang dengan i. I bukan semata-mata hanya tempat untuk berhubungan, kadang-kadang i juga memainkan role sebagai seorang mak"

Zul ketawa. "Ye, i bukan macam lelaki lain yang datang untuk seks. I hanya perlukan teman untuk berbual."

Linda tersenyum. "So i dah berjaya mengurangkan beban di dalam kepala you ke?"

"Kinda" Ujar Zul ringkas. Zul kembali berbaring di sebelah Linda sambil tangannya diletakkan di bawah kepala Linda. Linda memeluk Zul.

"Zul. You pernah terfikir tak macam mana kalau tiba-tiba dunia ini musnah? Ape you akan buat?"

Zul melihat angka-angka di jam Casionya. Empat puluh lima minit telah berlalu.






...






Zul mencucuh sebatang rokok lagi sambil memakai semula seluarnya. Sebelum keluar bilik, dia mencium pipi Linda yang masih bersila di atas katil tidak berbaju. Linda tersenyum sambil melambai.






...






"Sepuluh kali datang, sepuluh kali cakap tak nak seks." Ujar Linda sambil bersila di atas katil mengira not-not satu ringgit yang ditinggalkan Zul kepadanya.

"I bukan macam lelaki lain yang datang untuk seks. I hanya perlukan teman untuk berbual." Linda mencebikkan mulutnya mengulang ayat Zul kepadanya sebentar tadi.

"Bangsat"



Monday, September 21, 2015

Aku rasa lama

Beberapa hari ini aku banyak menghabiskan masa di rumah. Aku hilang punca sebenarnya, tiada duit dan tiada kerja. Agaknya sudah beberapa abad aku berhibernasi di dalam rumah. Tiap kali aku lihat refleksi muka aku di dalam cermin, aku lihat sampah. Makin hari makin sampah. Ahh, semua orang akan tua.

Satu hari, datang rasa ingin membaca. Aku selak kembali buku-buku lama yang aku bawa masuk ke dalam bilik masa aku berpindah beberapa bulan lepas. Ini adalah antara buku-buku yang terselamat daripada dibuang. Bukan aku berniat membazirkan buku yang bagus, tetapi aku malas sebenarnya. Malas untuk mengemas dan aku benci keserabutan ketika mengemas. Cuma jangan bagi aku terjumpa buku-buku masa aku sekolah rendah dan menengah dahulu sahaja. Kenapa? Aku akan baca balik buku-buku itu. Bukan bahagian pelajaran. Tetapi bahagian contengan-contengan mengutuk cikgu dan kawan-kawan. Perangai aku sebenarnya boleh tahan lawak jugak satu masa dahulu. Agaknya benar apa yang kawan aku katakan, "budak gemuk semua lawak".

Hari ini, aku membaca buku yang diberikan kepadaku. Tiba di satu mukasurat aku terjumpa penanda buku dan serta-merta aku teringat. Aku dah ada bini wei. Aku tersenyum dan bergolek sampai meletup.

Oh, aku juga rasa tua.

Monday, July 6, 2015

Hang kat mana la ni?

"Hang jangan risau, bank lulus ja aku punya kertas kerja aku terus panggil hang. Hang rileks ja. Aku bagi job untuk hang. Setakat aku hidup sekarang ni, bukan nak sembang besaq la. Duit tu bukan masalah aku la. Hang kenai dak butik kat hujung sana tu. Dia tu bukan tau apa pun. Orang kata dia start dari bawah. Tu semua tipu" Abang botak keras bersuara. Meja-meja di sebelah semua memandang. Sekali sekala dia meludah kahaknya ke tepi meja. Aku sekadar geli di dalam hati.

"Oh, yaka bang? Terima kasih la nak bagi job besar kat saya" Aku balas malas tapi teruja.

"Jom la aku nak balik dah ni. Hang setel sat meja ni." Abang botak terus bangun, salam dan bergerak ke kenderaannya.

Beberapa bulan kemudian, aku terserempak dia di kedai makan dengan beberapa orang. Aku menghampiri mejanya.

"Hang jangan risau......." Dari jauh aku dengar dialognya. Dialog yang hampir sama bunyi, nada dan tidak lupa kelajuan ludahnya ke sebelah tepi meja.

Aku matikan langkahku, patah balik, tekan alarm kereta dan bergerak pergi.

Tak apa. Kalau kau tak cuba, kau tak tahu kau boleh pergi mana. Apa yang aku belajar setahun ini adalah aku belajar untuk menjadi lebih plastik dengan manusia. Syukurlah aku pernah bekerja di gerai makan lepas SPM dulu. Sekurang-kurangnya aku dah ada basic untuk berpura-pura.

Sunday, June 28, 2015

Tunggu sekejap

Sebentar tadi aku dah buat pilihan untuk tidur. Rasanya macam idea yang bijak untuk terus tidur. Tapi entah, tiba-tiba kepala aku berputar pada blog ini. Mungkin sakanya memanggil untuk aku menulis atau mungkin aku terlalu banyak tidur sehingga kebosanan.

Jadi, aku memilih untuk membelek entri lama.

Oh, emosiku bercampur baur tika membeleknya. Entri-entri lama banyak membuatkan aku berfikir. Bagiku, ianya bukan idea bijak untuk berfikir di awal pagi ini. Tapi, alang-alang aku dah mula berfikir. Apa salahnya aku terus berfikir. Berfikir kadang-kadang ada baiknya.

Sesekali aku tersenyum. Ada entri yang pekat ditulis dalam naungan dadah dan ada entri yang ditulis dalam keinsafan dan ada juga entri yang ditulis hanya sekadar menarik perhatian orang. Walaupun aku adalah seorang penakut yang takut jika ada orang lain yang membaca blog aku. Aku takut untuk dihakimi manusia. Dari mana perasaan itu datang? Aku sendiri pun masih mencari. So, berbalik kepada menarik perhatian. Sebenarnya aku sendiri pun tidak tahu siapa yang aku nak tarik perhatiannya. Kah. What a miserable cunt i am. Tapi tak apa, itu yang membuatkan aku lebih dewasa. (Ayat manusia yang konon menenangkan diri sendiri)

Penakut.

Oh ya, sifat tu masih ada dalam diri aku selepas hampir beberapa abad aku hidup. Orang cakap, sifat buruk kita senang nak buang. Bagi aku, kau boleh buang jauh-jauh sifat tu. Tapi, sedikit sebanyak sifat tu masih ada lagi lekat dalam diri kau. Macam kau basuh taik, tapi ada sedikit kesan koko lagi dekat punggung kau. Okay, itu simbolik yang tak kena. Jangan ambil peduli.

Berbalik kepada penakut. Walaupun aku tidak berjaya mengikis sifat ini, tapi serangan penyakit ini semakin hari semakin pudar. Mungkin kerana peredaran umur dan keadaan hidup yang semakin mendesak. Terdesak? Bagi aku yang sedang terkontang-kontang untuk survive dalam hidup ini, segalanya nampak seperti peluang. Bukan aku mengeluh, tetapi ini adalah realiti hidup yang aku kena hadap. Mahu atau tidak, suka atau tidak, aku kena hadap.

Cerita pasal hadap. Aku dah hadap macam-macam jenis manusia. Macam-macam jenis dosa. Tapi satu jenis manusia saja yang aku baru sangat-sangat hadap. Yang jenis bila bersembang dia buat body contact dengan kita. Bila bersembang dia nak sentuh-sentuh, pegang tangan, usap-usap. And the worst part is, lelaki.

Aku geli wei.

Thursday, November 20, 2014

Sebuah masa

"Empat minggu lagi"

Tersentak aku dari tidur yang panjang. Terkejut sebentar selepas dibuai angin dunia. Ya, masanya telah hampir. Masa untuk aku putuskan kemana perjalanan layang-layang aku seterusnya.

Sebelum ini, terbangnya merata. Terbangnya tanpa arah.

Sekarang, masih sama. Yang membezakannya hanyalah tekad dan azam yang aku lekatkan pada layang-layangku. Bersepai-sepai terbangnya. Berat.

Aku semakin hampir dengan pemikiran "orang dewasa".

Aku lihat di belakangku, satu demi satu bayangan hilang. Bukan hilang meninggalkanku.

Hilang. Sekadar hilang. Hilang mengikut keperluan dunia. Hilang mencari kehidupan.

Aku?

Masih di sini.

Berfikir,

kemana aku nak pergi makan?

sedap tak makanan disitu?

mahal tak?

boleh tak aku lari tak bayar?

 Dan aku berhenti. Jariku kumat kamit memecahkan dedaun yang mampat. Seterusnya memasukkan jalinan kenikmatan dan membalutnya. Aku nyalakan si polan ini. Aku biarkan diriku ini sesat. Sesat dalam lagu.

Pernah kau rasa?

Kau macam di sana, tetapi kau hanya disini.

Saturday, October 18, 2014

Satu kata yang tidak dapat ku ucap melalui pen dan kertas

Manusia adalah makhluk yang susah untuk diramal. Ya, mungkin ada yang mengaku bahawa mereka adalah orang yang sangat faham dengan setiap manusia. Bagiku, itu hanya sekadar kata-kata. Manusia adalah kompleks. Mungkin kau mengambil beberapa juta tahun untuk belajar tentang psikologi manusia. Tetapi bila berhadapan dengan diri sendiri, aku yakin kau akan buntu. 

Dalam tempoh aku sesat di dalam perjalananku sendiri, kau ada di situ. Sentiasa menyuluh perjalanan ku. Sentiasa memikirkan diri ini yang semakin kabur. Walaupun begitu, ada kalanya aku sekali sekala masih tersimpang jauh menuju jalan yang gelap. Tetapi, aku tahu. Kau sentiasa berada di belakang ku. Sentiasa menolak aku di saat diri ini jahanam untuk meneruskan perjalanan. 

Mulanya, aku yakin dengan diri sendiri. Yakin bahawa aku boleh meneruskan perjalanan ini seorang diri. Hanya dengan berbekalkan semangat dari rakan-rakan lain. 

Namun, hari berganti hari. Jam berganti jam. Seluar berganti seluar. Semakin aku lari, semakin aku tersedar. Aku memerlukan kau. Seperti kereta memerlukan minyak. Seperti rokok memerlukan pemetik api. Seperti manusia memerlukan makanan.

Damn.

Semakin aku baca. Semakin gay aku rasa. Tapi, aku halang sebentar rasa itu untuk hari ini. Hari dimana rumahku banjir akibat paip bocor. 

Sebelum aku mula merapu lagi. Lebih baik aku meneruskan cerita agar objektif entri ini tidak tersimpang jauh menuju ke longkang. 

Jadi, terima kasih kerana hadir dalam kekalutan hidupku. Terima kasih kerana ada. 

Terima kasih. 



*aku harap aku punya sweetest moment ini akan berjalan lancar*


Monday, August 25, 2014

Seorang sahabat, teman dan rakan seperjuangan

Mula-mula aku kenal hang, masa tu aku ingat hang jenis manusia yang susah aku nak kawan. Bukan sebab apa pun. Sebabnya rambut terpacak hang tu membuatkan hang nampak macam douche di mata aku. Ya, aku silap. Sebenarnya aku yang salah, aku terlalu awal buat kesimpulan.

Semester satu di politeknik, aku belum betul-betul rapat lagi dengan hang. Masa tu aku baru sikit-sikit mula kenal dengan perangai hang. Tapi yang aku pasti, hang bukan manusia yang merapu.

Aku betul-betul rasa rapat dengan hang bila hang dengan kawan-kawan lain duduk serumah. Cerita dia masa tu budak-budak bilik depan selalu tidur petang. Jadi, aku selalu lepak bilik hang kalau masa tu depa tidur. Kalau nasib aku baik, boleh la aku masuk bilik. Sebab Lah selalu kunci bili. Alasan dia, bebai (gaduh) dengan awek. Masa tu aku mula nampak satu perangai hang. Hang ni jenis manusia yang boleh layan ja macam mana jenis kawan pun. Macam mana orang kacau hang pun hang gelak ja. 

Aku selalu kutuk hang. Masa hang study untuk final exam, hang selalu kunci bilik. Bila aku tanya hang kata tak study. Apa lagi, masa tu la aku nak bahan hang. Tapi, aku tau. Hang tak pernah kecil hati pun dengan perangai aku ni. Aku ni memang jenis manusia yang suka mengata. Tapi, dalam tak sedar aku rasa aku dah mula boleh terima kawan macam hang. Sebab apa? Sebab aku melawak kasar hanya dengan orang yang aku rapat. Aku ingat lagi, masa hang tengah sedap tidur, aku selalu buka laptop hang, lepas tu aku buka lagu kuat-kuat. Lepas tu aku keluar. Aku suka kacau hang tidur. Tapi, hang rileks ja kelip bijik mata lepas tu tutup lagu yang aku buka. 

Hang tak pernah marah aku. Masa hang tengah sibuk buat assignment pun aku boleh kacau hang, tapi hang tenang ja dok menaip sambil gelak. Betul aku cakap, hang orang yang senang. Mana aku nak cari manusia yang tak hisap rokok tapi boleh tahan dengan bau rokok. Bayangkan, bilik kecik yang hang duduk dengan Lah tu, kalau aku masuk mesti aku hisap rokok sampai bekepul asap dalam bilik hang. Sikit pun hang tak pernah halau aku keluar. 

Aku selalu cakap "Ish, Afiq tak suka la tu aku hisap rokok dalam bilik dia"

Tapi hang gelak sambil cakap "Hang buat teruk aih"

Ayat tu selalu hang cakap bila hang jadi segan dengan kawan-kawan.

Bila aku pinjam duit pastu aku nak bayar balik hang mesti cakap "hang buat teruk aih, lima kupang ja pun" 

Bila aku tidur kat katil hang pun hang selalu bagi ayat tu. Pernah sekali, aku bangun dari tidur nampak hang tidur sebelah aku. Sikit lagi nak jatuh. Aku kan besar macam gajah dulu. Tapi hang tetap buat muka selamba hang tu. Ekspressi muka hang yang suka buat aku suka gelak kat hang. Sebab hang jenis manusia yang mudah kawan-kawan nak melawak kasar.

Masa kita pi bercuti kat batu feringgi, hang dok kelam kabut nak naik kuda. Hang tau tak, aku rasa lawak gila. Sebab masa tu aku nampak hang macam budak-budak. Tak tau sebab apa, mungkin sebab cara hang paksa kami teman hang naik kuda. Ekspressi muka hang masa tu. Lawak. Tiap kali aku tengok balik video tu aku gelak. Makin lama tengok makin lawak.

Ingat lagi tak, malam masa kita bercuti tu. Kita main game kad. Sebenarnya, hang dah menang banyak kali dah. Tapi hang tak tau. Sebab apa? Aku dengan Peco main bohong. Kami main tukar kad. Masa tu, aku rasa seronok sangat. Sebab aku suka tengok hang kalah game dengan kawan-kawan. Bila hang kalah, kami semua gelak kat hang. Tak cukup dengan gelak, kami kutuk hang lagi.

Aku memang suka gelak dekat hang. Sebab aku suka cara hang yang tak mudah marah. Masa hang dapat interview kat USM, masa tu aku, Peco, Appy dengan Adib teman hang. Aku tak tau sebab apa. Tapi aku rasa bangga bagi pihak hang. Masa hang interview tu, kami tengok hang dari jauh. Sambil dok kutuk hang. Dok gelak kat hang dari jauh ja. Aku teringat masa tu, tak tahu dari mana ada idea timbul kat Adib nak snap gambar ala-ala "kesian" nak tunjuk kat hang. Sebab apa? Kami suka-suka ja nak buat hang rasa bersalah. Lepas tu kami nak gelak kat hang.


Ingat gambar ni? Sebenarnya ni gambar berlakon ja. Tapi, Appy tu aku rasa dia tidur betul-betul. Hang tau kan dia macam mana? Peco tu macam biasa dok buat letih dia. Aku ingat lagi, banyak kali hang minta maaf kat kami. Tapi kami dok gelak ja kat hang. 

Tapi, belum sempat kami tunjuk gambar ni pun hang dah rasa bersalah.

Hang tak lupa pun kami yang tengah tunggu hang habis interview tu. Aku ingat lagi, hang bagi air kotak kat kami. Tapi kami buat-buat tak mau sambil dok kutuk hang. Tapi, habis juga kami minum. Bukan setakat tu ja, aku minum dengan air hang sekali, kalau tak silap aku, aku makan sekali roti hang.

Hang? Gelak ja, sambil mulut tak berhenti minta maaf. Padahal kami sikit pun tak rasa beban. Masa on the way balik tu, semua orang yang dalam kereta hang tidur. Aku pun tertidur. Tapi aku tidur tak lama. Sekali aku jaga aku tanya hang soalan yang sama. Berulang-ulang kali.  Serius aku cakap, kami bangga dengan hang. Sebab masa kat poli dulu hang tak boleh nak mengembangkan hang punya bakat. Sebab, kami kawan-kawan pula, suka gelak dekat hang.

Tapi, hang tau tak sebenarnya hasil kerja hang tu elok-elok semua. Masa kita dah habis poli, aku rasa aku ada bagitau hang. "Hang boleh pi jauh."

Tapi hang kata aku perli.

Aku gelak tanpa bagi jawapan ya atau tidak. Tapi sebenarnya, aku cakap benda yang serius. Kami kawan-kawan pernah sembang pasal hang kat belakang. Kami suka dengan hasil kerja hang. Tapi biasa la, kawan-kawan macam kami ni suka gelak kat hang ja. Aku selalu guna modal hang edit muka hang bagi bersih nampak ala-ala model. Selalu gelak dekat hang.

Lepas habis diploma, kita ikut haluan masing-masing. Tapi, kita masih lagi contact dalam facebook. Walaupun hang jenis yang susah nak balas komen. Aku tau, semua komen kami hang akan baca. Masa semester tengah berjalan, kita tak ada langsung mesej apa-apa.

Tapi, bila mula cuti semester, aku, Adib dengan Peco akan pi rumah hang. Kalau boleh kami tak mau contact hang dulu sebelum pi rumah hang. Sebab apa? Bila hang dapat berita kami nak pi rumah hang, hang akan prepare macam nak buat kenduri. Serius aku cakap, aku segan. Tapi segan tu macam tak ada pun. Makan habis jugak. Sebab bila duduk kat rumah hang, kita jadi tak serius. Gelak macam-macam.

Beberapa bulan lepas tu, kami lost contact dengan hang. Tiba-tiba Lah bagi berita yang hang kena kanser. Kami tau lepas hang kena bedah. Masa tu kami pi rumah hang ramai-ramai. Hang macam biasa, sambut kami macam orang buat kenduri. Siap ada durian lagi. Masa aku nampak hang kurus tu, aku dapat rasa hang punya sakit. Tapi, hang cerita dekat kami yang hang tak sakit. Hang cakap cuma kena jaga makan ja. Aku terus terang cakap, aku percaya kat hang. Sebab aku tau hang kuat.

Aku ingat lagi, macam mana mulut bodoh aku ni boleh terlepas cakap dekat mak hang. Masa aku keluarkan soalan tu, aku nampak mak hang nangis. Betul Afiq, sejak dari hari tu aku dah set dalam kepala aku satu benda. Aku akan mula berfikir sebelum bercakap. Family hang pun dah macam family kami. Mak hang pun kami panggil mak, lepas tu gelak macam rumah hang tu rumah kami.

Lepas tu, beberapa bulan aku tak jumpa hang. Sebab aku sibuk dengan pengajian aku. Sampai la dekat kenduri Talha. Masa aku jumpa hang tu, aku nampak ada benda tumbuh dekat leher hang. Aku tak sanggup nak tanya. Jadi, aku positifkan diri aku. Aku cakap "Benda tu akan hilang".

Masa tu hang ada cakap hang segan nak jumpa kami, aku tak tau hang segan sebab apa. Sebenarnya kami tak ada masalah langsung nak jumpa hang. Aku tak tau cerita sebalik derita hang tu. Aku ingat hang malu nak jumpa kami sebab ketumbuhan yang naik tu. Bila aku bagi soalan banyak-banyak dekat hang, hang macam bercelaru. Sebab tu la aku mula kutuk Lah. Aku mula bagi lawak-lawak bodo. Hang? Cara hang gelak tu tak berubah pun. Senyum hang tu tetap sama macam tu jugak. Aku tau hang sakit. Tapi, dalam sakit hang tu hang masih boleh bagi senyuman hang tu. Kami nampak dekat mata hang Afiq. Hang memang kuat.


Hang punya senyum tu tak pernah berubah. Serius aku cakap, hang memang kuat. Dalam hang menanggung kesakitan ni, hang boleh lagi panjat gunung, berbasikal, kayak dengan banyak macam-macam lagi hang buat. Aku masa ni dah sampai satu tahap yang aku bertambah bangga dengan hang Afiq. Masa tu aku nak bagi hang tau yang aku nak hang terus bertahan. Tapi, aku tak cakap. Ayat tu tak keluar.

Masa kenduri Bad, hang mai. Tapi kita jumpa dekat Kacha. Masa tu aku nampak hang kuat macam biasa. Tapi, aku nampak perubahan fizikal hang. Hang tunjuk kaki hang yang bengkak. Masa tu, aku masih buat lawak bangang untuk hang Afiq. Sebab aku macam dulu jugak, aku suka tengok reaksi hang dengan lawak aku. Hang masih sama dengan hang punya gelak. Dalam tak sedar, aku betul-betul nak hang bertahan Afiq. Tapi Afiq, ayat tu tak keluar.


Masa raya haritu, aku nampak hang atas kerusi roda. Aku perasan kaki hang kedua-dua bengkak. Tapi, cara hang tetap sama. Cara hang gelak tu tetap tak berubah. Aku tau hang sakit. Masa tu aku perasan, hang tak selesa. Lepas kita bergambar, hang bagi surah yassin kat kami. Hang suruh kami baca bila tiba masa nanti.

Afiq, sikit lagi mata aku nak berair. Tapi, aku tak boleh kalah dengan hang. Hang tau kan aku macam mana? Takkan aku nak nangis kat situ. Nanti Peco gelak kat aku. Hang tau kan kita kawan-kawan macam mana?

Masa kawan-kawan lain kat luar rumah hang menunggu Pali, hang bagitau aku "Aku kuat bila ada kawan-kawan". Aku tau, tu cara hang nak berterima kasih. Kan? Afiq, hang tak payah bagitau pun aku faham. Hang memang kuat. Tak payah bagitau pun aku tau hang kuat. Masa kita tengah sembang, tiba-tiba hang cakap hang nak tidur sebab hang letih. Kami tak balik lagi, tapi kami masih bersembang kat situ lagi. Gelak kuat-kuat kacau hang tidur. Bila kami nak balik, hang mintak maaf sebab tak dapat nak layan kami. Sepatutnya, aku yang kena mintak maaf. Masa tu aku nak bagitau hang untuk terus bertahan. Tapi Afiq, ayat tu tak keluar. Aku boleh salam tangan hang sambil genggam kuat-kuat dengan harapan hang paham aku punya isyarat.
Dua puluh Ogos, Lah call aku. Dia kata hang dah tak ada. 

Afiq, aku marah dia. Aku tau dia tak melawak, tapi aku marah dia sebab aku mengharap yang hang masih ada. Tapi, tak. Masa tu, aku betul-betul celaru. Aku tak faham apa yang aku rasa. 

Masa aku tengah tunggu Lah, macam-macam rasa sampai kat aku. Aku sendiri pun tak faham apa yang aku rasa. Aku jadi dungu.

Sampai dekat Changloon, aku tak sempat nak sembahyangkan jasad hang. Aku tengok keranda dari luar. Dalam diri aku, aku mintak tu bukan hang. Aku nak sangat hang mai dari belakang aku tepuk bahu aku, kata aku kena bohong. Aku masih tak percaya. Masa aku jumpa adik hang, dia peluk aku.

Afiq, aku jadi lembik. Aku dah tak boleh tahan. Hang tau kan?

Masa depa letak jasad hang betul-betul depan aku, macam-macam benda flash dalam kepala aku Afiq. Banyak benda aku buat dekat hang. Banyak benda yang aku nak cakap sebagai seorang sahabat tapi aku tak cakap. Banyak Afiq. Aku masih belum bersedia untuk kehilangan seorang sahabat macam hang. Aku masih tak percaya yang bawah kain putih tu hang.

Kalau hang tengok aku masa tu, aku tau hang gelak kat aku.

Aku tau Afiq.

Aku tau apa hang nak bagitau aku.

Afiq. Hang kuat. Hang la kawan yang baik. Dalam ruang hati aku, takkan hilang nama hang Afiq. Aku ambil semangat hang Afiq. Aku akan jadi kuat macam hang Afiq. Kalau hang nak tau, aku lonjak satu langkah besaq pi depan. Aku pakai semangat dari hang Afiq. Aku nak kuat macam hang. Aku harap hang tenang ja kat sana. Aku harap hang duduk dengan golongan orang yang beriman.


Afiq, hang tau kan lelaki punya ego? Hang tau kan aku macam mana?

Tapi hari ni aku letak tepi sat semua tu, aku nak hang tau satu benda.

Aku sayang hang.

Hang kawan aku selamanya. Semua kawan-kawan kita sayang kat hang. Semoga hang tenang kat sana. Kalau hang nampak aku taip macam ni, mesti hang gelak kat aku kan.


Berehatlah dengan tenang sahabatku.

Afiq Jamaluddin.

Friday, May 16, 2014

Beberapa tahun kemudian

Melihat kembali kehidupanku beberapa tahun lepas membuatkan aku berfikir panjang dalam suasana sejuk yang terhasil daripada hujan di luar sana. Dalam perjalan kehidupan aku, aku banyak memasang cita-cita. Ada masa cita-cita itu dipatahkan, ada masa cita-cita itu kembali membara. Aku pun tak pasti apa yang membuatkan aku sekarang kembali on track. Mungkin hasil daripada asakan rakan-rakan. Yang aku pasti, sekarang aku telah kembali mengikuti jalannya. Walaupun kadang-kadang terselerak sebentar.Ya, masih banyak perkara yang perlu aku atur kembali.

Banyak insan yang bermain di kepalaku sekarang. Sejujurnya, entri ini terhasil daripada status-status di facebook yang rata-ratanya mengucapkan selamat hari guru kepada guru mereka. Biarkan mereka sebentar di situ. Dalam perjalanan aku dari zaman belum baligh, banyak jenis cikgu aku jumpa. Ada yang membakar semangat dan ada yang mencurahkan air kepada semangat yang membakar itu. Aku tidak menyalahkan mereka. Mungkin salah aku yang terlalu bersikap "memberontak". Biasalah budak-budak, semua benda nak lawan. Hati memberontak. Kononnya punk habis-habisan, tapi bila umur semakin tua baru aku sedar bahawa punk itu sebenarnya bukan hanya sekadar memberontak ianya lebih dari itu. Ahh, biarkan sebentar pasal ini. Ada masa akan aku tuliskan entri aku dan punk. Sebenarnya, aku pun tak pasti apa yang aku marahkan dulu.

Semakin umurku meningkat, semakin banyak guru yang aku jumpa. Bagiku, semua orang adalah guru. Jika kau mengajar aku untuk membuat kerja, kau adalah guru ku. Jika kau mengajar aku menghisap rokok, kau adalah guruku dan begitulah seterusnya. Jadi, ini adalah entri untuk semua rakan-rakan dan manusia lain yang pernah mengajar aku.

Jadi, untuk mereka yang memperkenalkan aku kepada segala subjek di sekolah, agama, internet, muzik, segala bala instrumen, komputer, menguruskan badan, cara survive tanpa duit, menipu, membawa kereta, membuat segala jenis akaun, tempat membeli barang murah, makanan baru, tidak lupa lagi kepada yang membakar semangat aku untuk berubah, yang memberi kata-kata semangat, yang mengajar benda-benda baru, dan semua benda yang aku sendiri pun tak larat nak taip. Aku dengan ini mengucapkan selamat hari guru kepada kamu.

Semua orang adalah guru. Walaupun kau hanya duduk rumah goyang telur. Telur yang bergoyang itu adalah punca kepada orang lain untuk bekerja keras. Okay, itu tidak masuk akal.



Sekian dahulu dari saya.

Onani.

Kbai.

Friday, February 14, 2014

Hari terakhir minggu ini


"Blah. Blah. Syuh. Syuh. Pi tidoq tempat lain" diterajangnya seekor kucing menggunakan hujung kasutnya berkali-kali. Padahal si kucing itu hanya tidur di tepi koridor. Dengan wajah yang berat kerana dikejutkan dengan kasar, si kucing pun berlalu pergi. Lelaki itu tersenyum sendiri kerana dia merasakan dirinya adalah seperti Beastmaster yang mampu berkomunikasi dengan binatang.

Dia berjalan sambil tangannya menyisir rambut. Terasa begitu bahagia. Namun kebahagiaannya itu berubah menjadi kerisauan yang tiba-tiba. Dilihat kiri dan kanannya. "Pelik. Mana pergi semua orang?" hatinya berbisik risau. Kesunyian ini adalah sesuatu yang luar biasa baginya.

Dia berjalan lagi. Rambutnya yang lembik kerana basah dek peluh dibiarkan sahaja. Pelbagai persoalan dan tanggapan yang bukan-bukan bermain dalam kepalanya.

Pada masa yang sama, muncul seekor gorilla yang ganas di hadapannya. Dia melompat tekejut, kerana seumur hidupnya ini adalah pertama kali dia melihat binatang hitam berbulu ini. Selalunya dia hanya melihat binatang seperti ini di dalam filem-filem barat dan melalui ilustrasi kartun yang kerap dilukis sahabatnya pada sekolah menengah bagi mengejek seorang kawannya yang lain kerana hitam dan gemuk.

"Ahh. Sudah. Macam mana nak handle binatang buas ni?" Ujarnya dalam ketakutan. Walaupun dalam keadaan yang serius itu, dia sempat lagi mengeluarkan dialog yang bercampur dengan bahasa inggeris. Urban benar bahasanya.


Gorilla itu mula membuka langkah. Dia berdiri dan menumbuk-numbuk dadanya sambil mulutnya dibuka luas menampakkan giginya yang tajam dan garang itu.

BUM! BUM! BUM!

"Jahanam. Binatang ni takkan makan manusia?" Dia terduduk kerana terlalu takut.


Gorilla itu membuka langkah dengan tangannya menumbuk tanah dan bergerak menuju kearahnya. Kini, gorilla itu berada benar-benar di hadapannya.

BUM! BUM! BUM!

Sekali lagi gorilla itu menumbuk-numbuk dadanya. "Eh?" Dia seperti dapat menangkap sesuatu tetapi dia sendiri pun tidak tahu apa. Bunyi tumbukan itu seperti pernah didengarnya.

BUM! BUM! BUM!

"Hmm."

BUM! BUM! BUM!

"Bunyi macam...." Belum sempat kata-katanya itu dihabiskan, matanya terbeliak. Dia melompat seperti seekor kijang yang melarikan diri dari pemangsa. Dicapainya tuala dihujung katil dan terus berlari menuju ke arah bilik air. Emaknya yang mengetuk pintu bilik hanya mendiamkan diri melihat kelakuan anaknya yang begitu dewasa.

Pagi itu dia memandu bersama mata yang berair.

"Awat alarm tak bunyi?" Ujarnya dalam hati sambil buku limanya digenggam erat tanda geram.

Wednesday, January 29, 2014

Lahir semula untuk kali ketiga puluh




Peluhnya menitik-nitik mengejar kelajuan masa yang semakin kejam memecut meninggalkannya di belakang. Satu demi satu langkahnya dibuka luas dan laju. Dia kemudian berhenti dan mencapai remote kelajuan masa yang diperolehnya daripada syaitan yang telah membeli separuh dari jiwanya. Separuh lagi jiwanya telah dipecah-pecahkan dan diberikan kepada beberapa orang gadis yang dia sendiri pun tidak kenal. Dasar lelaki.

Ditekannya butang slow-mo berkali-kali dengan riak muka yang luar biasa dan giginya diketapkan. Wajahnya nampak serius, seserius lelaki yang tak dapat apa-apa pada malam pertama.

Kelajuan masa yang telah dikurangkan kepada negatif seratus seperti tiada kesan. Kelihatan wajah-wajah disekelilingnya masih bergerak laju sambil melontarkan pandangan yang hambar kepadanya. Wajahnya kini kelihatan sayu.

Dia berharap jika dia bergerak laju seperti mereka yang lain dia tidak akan lagi dipandang seperti orang asing. Dia tidak mahu dipandang tinggi, dia hanya mahu dipandang seperti manusia biasa.

Dia membuka langkah perlahan meninggalkan dunianya. Jasadnya bergerak tanpa arah, berjalan ke haluan yang dia sendiri tidak tahu. Dia tidak lagi kisah kemana haluannya.

Dalam perjalanan yang tiada haluan itu dia berhenti kepenatan di sebatang sungai. Hairan, mengapa begitu ramai manusia disini. Diamati satu demi satu pergerakkan mereka. Dia tersenyum. Di sinilah destinasi yang sepatutnya dia tuju dari awal.

Dia tidak memberi apa-apa harapan untuk dirinya pada kali ini. Bila-bila masa saja dia boleh berselerak bersama yang lain. Buat masa sekarang, dia hanya mahu menikmati kehidupannya.

Monday, January 13, 2014

Perubahan




Berubah, change, bianhua, parivartana.


Tepat jam menunjukkan angka dua belas pada tahun baru 2013 dia nekad. Nekad untuk melakukan perubahan. Walaupun tahun-tahun sebelum ini, dia kerap kali memasang azam yang tak pernah dicapai. Untuk kali ini, dia tersedar dan menanamkan nekad yang membara ke dalam jiwanya. Impiannya hanya satu. Jadi, untuk setahun itu dia berhempas pulas melayani nekadnya.

Tiga belas hari lepas, manusia telah melangkah masuk ke tahun baru 2014 dan dia kini boleh tersenyum lebar. Walaupun masih ada sedikit kekurangan pada azamnya, rasa bangga itu tetap ada dalam dirinya. Bangga kerana dalam seumur hidupnya ini adalah kali pertama dia bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang dia benar-benar inginkan.

Malam ini dia terbaring di atas tilam dan berfikir panjang.

Apa pula lepas ni?

Saturday, December 21, 2013

Kesan sampingan dari kehidupan

Tika orang lain sedang enak bermimpi, mataku segar terbuka pada pagi ini. Hujan lebat diluar membuatkan hatiku sedikit marah kerana tidak dapat menikmati tidur yang selesa.

"Damn" ucap hatiku lemah.

Sebatang rokok ku cucuh bagi mencapai mengantuk yang ku idamkan. Dari satu menjadi dua, dari dua menjadi empat. Kepala semakin pening, tapi mata ini masih segar. Segar bagai sayur di Cameron.

Dalam keserabutan ciptaan sendiri ini, aku mula mengira tahun. Aku tersedar, telah banyak masa yang aku bazirkan. Sesal itu memang ada, tapi kerja yang berlonggok di desktop langsung tidak ku sentuh. Ketika inilah aku amat memerlukan semangat "hendak seribu daya, tak nak seribu dalih".

Kali ini aku nekad untuk membuat kerja secara sekali harung. Aku tutup segala benda yang boleh menarik perhatianku. Facebook, Twitter, Youtube, Yujis, dan segala mak nenek Media Player.

Yang tinggal hanya aku dan Microsoft Office dan beberapa fail pdf dihadapanku. Sedang jariku menaip beberapa perkataan, tanganku menggeletar. Ahh, sudah. Kakiku yang tadi sedang elok bersila tiba-tiba kejang dan terasa seperti buih-buih hendak memancut keluar dari mulutku.


Aku bergetar-getar di atas tilam. Seperti remaja yang sedang shuffle. Aku cuba bangkit, tetapi tiada respon dari tubuhku.

Ketika kakiku sedang bergetar-getar itu, aku tertendang mouse lalu tertutup segala kerja-kerjaku. Seperti tiada apa-apa, aku kembali normal. Hairan.

Sekarang, dengan hati dan perasaan yang bercampur baur aku menaip entri baru.

Aku rasa, aku ada alergik.

Monday, December 16, 2013

Aku mula bosan





 


Dia berada betul-betul di hadapanku. Kepalaku semakin laju memutarkan ayat-ayat cinta sambil kakiku berjalan mendekatinya. Tetapi yang peritnya, kepalaku kini seperti ending filem yang tak ada orang mahu baca penghargaan di akhir filem.

Penamatnya, visi dan misiku menjadi gelap. Aku tidak lagi dapat melihat lagi tulisan-tulisan laju di dalam kepalaku. Ketika itu baru aku tersedar, dia berdiri dihadapanku. Wajahnya, senyumnya, dan bau perfumenya membuatkan aku menjadi seperti patung.

Aku sebenarnya bukan apa, aku cuma tidak mahu mulutku mengeluarkan lawak-lawak hambar. Untuk itu, aku memilih ayat yang terbaik sehingga aku sendiri terdiam dan terlupa bagaimana mulutku berfungsi.

Aku ingin bercakap. Cuma aku kira, ketika itu telurku mengecut menjadi seperti kismis.

Ketika dia telah pergi membawa haluan, barulah kepalaku kembali normal. Hairan, mengapa kepala aku sekarang ni banyak memutarkan ayat-ayat celaka dan kelakar. Ahh, jikalau otak aku sebegini ligat di hadapan gadis idaman.

Friday, December 6, 2013

Kehidupan aku setakat ini


Malam ini adalah malam yang terbosan dalam hidupku. Segala yang aku lakukan serba tak kena. Paling perit bila semua lagu yang aku dengar mula masuk akal. Lirik yang bersepah-sepah mula memberikan seribu satu makna kepadaku.

Seperti seorang penyiasat, otakku ligat menterjemahkan bait-bait lirik yang beralun di dalam atmosfera bilikku yang kecil dan sejuk ini.

Selepas aku ditegur tadi, baru aku perasan.

Siapa pula yang tegur aku dalam rumah yang kosong ni?

Mungkin itu adalah suara yang muncul akibat dari tidurku yang berlebihan.

Jadi, kerana ketakutan aku pun bangun dan mula menulis. Dengan harapan mata yang ligat dan badan yang penat ini akan memberikan peluang kepadaku untuk menikmati tidur yang lena.

Aku benci perasaan takut yang tiba-tiba datang macam ni.

Aku rasa, mungkin suara itu adalah suara dari saka blog ini yang mahu aku menulis sesuatu.

Saturday, October 26, 2013

This is it

Semalam tika aku membelek-belek entri lama, aku terasa untuk membuat sedikit pembersihan. Entah apa yang membuatkan aku terasa untuk membersihkan blog.

Aku dah hantar beberapa entri lama masuk ke draft.

Walaupun hanya ke draft, terasa sedikit dari jiwa ini seperti hilang.

Sigh.

Sunday, October 20, 2013

Hidup

Cuti aku dah habis.

Aku perlu kembali mengadap benda yang aku tak suka. Ini bermakna aku perlu kembali ke alam nyata dan berkomunikasi dengan manusia. Paling teruk, berkomunikasi dengan orang aku tak suka. Komunis.

Aku perlu tune waktu tidur aku untuk menepati ciri-ciri manusia biasa.

Manusia biasa.

Aku nk jadi luar biasa.

Sigh.

Friday, February 15, 2013

Cari jalan pulang dan cuba untuk terbang

Tak banyak perkara yang mencabar muncul dalam hari-hari kehidupan aku kebelakangan ini. Aku hanya biasakan diri untuk menjadi seperti orang lain. Malas untuk melakukan perkara yang bermasalah mungkin. Atau mungkin aku malas. Malas dengan peredaran umur.

Agaknya aku telah "dibasuh" dan menjadi orang kebanyakkan. Agaknya aku telah terpengaruh dengan sistem. Belajar -> habis belajar -> cari kerja -> bayar hutang -> tambah hutang -> kahwin -> tua -> insaf dan mati. Itu pun kalau sempat. Heh


Banyak perkara yang aku telah lepaskan. Walaupun aku sedar yang aku telah menjadi apa yang dibancuh, tapi segalanya seperti telah sebati. Banyak perkara yang aku risaukan. Banyak perkara mula aku tinggalkan. Banyak kawan telah aku buangkan.

Apakah perkara yang aku lakukan ini berbaloi?

Harapnya segala yang aku lakukan ini memberikan pulangan yang berbaloi untuk kehidupan aku. Aku sebenarnya mahu untuk tidak berubah tetapi ini adalah ketentuan-Nya.

Agaknya aku masih sama.

Mungkin.  

Apa lagu baru sekarang eh? Justin Bieber masih popular ka? 

Thursday, December 6, 2012

Empat jam masa hadapan

Aku hanya melihat putaran itu dibawa pergi. Jika diikutkan hati ini, mahu sahaja aku berputar bersama engkau. Itu jika diikutkan hati. Tapi ternyata kaki ini lebih suka mendiamkan diri mengikut apa sahaja gerakan keras sebiji batu. Biarkan sahaja, mari kita pulang wahai hati kosong.

Aku cuba bertanya banyak soalan kepada kau dalam angan-angan petangku, tetapi kau sibuk. Sibuk menjadi angan-angan. Jadi, aku bawa roh aku ke sebuah kawasan lebih gelap.

Disitu aku tersesat. Susah mahu meronta dalam kawasan yang sepi ini, tiada bunyi mahu mewarnai jalanku. Tiada warna mahu memberikan frekuensi kepadaku. Apa gila yang sedang terjadi ini? Aku mahu meminta, tapi hanya debu keluar dari kotak suaraku.

Aku berhenti di hadapan jam besar dimana nombornya adalah huruf dan bunyinya adalah warna. Segalanya asing, seperti pertama kali ditendang ke udara.

Bong!

Keluar kepala manusia, menunjukkan jam tepat pada sesuatu waktu yang aku tidak tahu. Bunyi bong! ketiga itu menyedarkan aku.

Rupanya aku tersesat dalam matamu.