Saturday, December 21, 2013

Kesan sampingan dari kehidupan

Tika orang lain sedang enak bermimpi, mataku segar terbuka pada pagi ini. Hujan lebat diluar membuatkan hatiku sedikit marah kerana tidak dapat menikmati tidur yang selesa.

"Damn" ucap hatiku lemah.

Sebatang rokok ku cucuh bagi mencapai mengantuk yang ku idamkan. Dari satu menjadi dua, dari dua menjadi empat. Kepala semakin pening, tapi mata ini masih segar. Segar bagai sayur di Cameron.

Dalam keserabutan ciptaan sendiri ini, aku mula mengira tahun. Aku tersedar, telah banyak masa yang aku bazirkan. Sesal itu memang ada, tapi kerja yang berlonggok di desktop langsung tidak ku sentuh. Ketika inilah aku amat memerlukan semangat "hendak seribu daya, tak nak seribu dalih".

Kali ini aku nekad untuk membuat kerja secara sekali harung. Aku tutup segala benda yang boleh menarik perhatianku. Facebook, Twitter, Youtube, Yujis, dan segala mak nenek Media Player.

Yang tinggal hanya aku dan Microsoft Office dan beberapa fail pdf dihadapanku. Sedang jariku menaip beberapa perkataan, tanganku menggeletar. Ahh, sudah. Kakiku yang tadi sedang elok bersila tiba-tiba kejang dan terasa seperti buih-buih hendak memancut keluar dari mulutku.


Aku bergetar-getar di atas tilam. Seperti remaja yang sedang shuffle. Aku cuba bangkit, tetapi tiada respon dari tubuhku.

Ketika kakiku sedang bergetar-getar itu, aku tertendang mouse lalu tertutup segala kerja-kerjaku. Seperti tiada apa-apa, aku kembali normal. Hairan.

Sekarang, dengan hati dan perasaan yang bercampur baur aku menaip entri baru.

Aku rasa, aku ada alergik.

Monday, December 16, 2013

Aku mula bosan





 


Dia berada betul-betul di hadapanku. Kepalaku semakin laju memutarkan ayat-ayat cinta sambil kakiku berjalan mendekatinya. Tetapi yang peritnya, kepalaku kini seperti ending filem yang tak ada orang mahu baca penghargaan di akhir filem.

Penamatnya, visi dan misiku menjadi gelap. Aku tidak lagi dapat melihat lagi tulisan-tulisan laju di dalam kepalaku. Ketika itu baru aku tersedar, dia berdiri dihadapanku. Wajahnya, senyumnya, dan bau perfumenya membuatkan aku menjadi seperti patung.

Aku sebenarnya bukan apa, aku cuma tidak mahu mulutku mengeluarkan lawak-lawak hambar. Untuk itu, aku memilih ayat yang terbaik sehingga aku sendiri terdiam dan terlupa bagaimana mulutku berfungsi.

Aku ingin bercakap. Cuma aku kira, ketika itu telurku mengecut menjadi seperti kismis.

Ketika dia telah pergi membawa haluan, barulah kepalaku kembali normal. Hairan, mengapa kepala aku sekarang ni banyak memutarkan ayat-ayat celaka dan kelakar. Ahh, jikalau otak aku sebegini ligat di hadapan gadis idaman.

Friday, December 6, 2013

Kehidupan aku setakat ini


Malam ini adalah malam yang terbosan dalam hidupku. Segala yang aku lakukan serba tak kena. Paling perit bila semua lagu yang aku dengar mula masuk akal. Lirik yang bersepah-sepah mula memberikan seribu satu makna kepadaku.

Seperti seorang penyiasat, otakku ligat menterjemahkan bait-bait lirik yang beralun di dalam atmosfera bilikku yang kecil dan sejuk ini.

Selepas aku ditegur tadi, baru aku perasan.

Siapa pula yang tegur aku dalam rumah yang kosong ni?

Mungkin itu adalah suara yang muncul akibat dari tidurku yang berlebihan.

Jadi, kerana ketakutan aku pun bangun dan mula menulis. Dengan harapan mata yang ligat dan badan yang penat ini akan memberikan peluang kepadaku untuk menikmati tidur yang lena.

Aku benci perasaan takut yang tiba-tiba datang macam ni.

Aku rasa, mungkin suara itu adalah suara dari saka blog ini yang mahu aku menulis sesuatu.