Thursday, December 6, 2012

Empat jam masa hadapan

Aku hanya melihat putaran itu dibawa pergi. Jika diikutkan hati ini, mahu sahaja aku berputar bersama engkau. Itu jika diikutkan hati. Tapi ternyata kaki ini lebih suka mendiamkan diri mengikut apa sahaja gerakan keras sebiji batu. Biarkan sahaja, mari kita pulang wahai hati kosong.

Aku cuba bertanya banyak soalan kepada kau dalam angan-angan petangku, tetapi kau sibuk. Sibuk menjadi angan-angan. Jadi, aku bawa roh aku ke sebuah kawasan lebih gelap.

Disitu aku tersesat. Susah mahu meronta dalam kawasan yang sepi ini, tiada bunyi mahu mewarnai jalanku. Tiada warna mahu memberikan frekuensi kepadaku. Apa gila yang sedang terjadi ini? Aku mahu meminta, tapi hanya debu keluar dari kotak suaraku.

Aku berhenti di hadapan jam besar dimana nombornya adalah huruf dan bunyinya adalah warna. Segalanya asing, seperti pertama kali ditendang ke udara.

Bong!

Keluar kepala manusia, menunjukkan jam tepat pada sesuatu waktu yang aku tidak tahu. Bunyi bong! ketiga itu menyedarkan aku.

Rupanya aku tersesat dalam matamu.