Wednesday, January 29, 2014

Lahir semula untuk kali ketiga puluh




Peluhnya menitik-nitik mengejar kelajuan masa yang semakin kejam memecut meninggalkannya di belakang. Satu demi satu langkahnya dibuka luas dan laju. Dia kemudian berhenti dan mencapai remote kelajuan masa yang diperolehnya daripada syaitan yang telah membeli separuh dari jiwanya. Separuh lagi jiwanya telah dipecah-pecahkan dan diberikan kepada beberapa orang gadis yang dia sendiri pun tidak kenal. Dasar lelaki.

Ditekannya butang slow-mo berkali-kali dengan riak muka yang luar biasa dan giginya diketapkan. Wajahnya nampak serius, seserius lelaki yang tak dapat apa-apa pada malam pertama.

Kelajuan masa yang telah dikurangkan kepada negatif seratus seperti tiada kesan. Kelihatan wajah-wajah disekelilingnya masih bergerak laju sambil melontarkan pandangan yang hambar kepadanya. Wajahnya kini kelihatan sayu.

Dia berharap jika dia bergerak laju seperti mereka yang lain dia tidak akan lagi dipandang seperti orang asing. Dia tidak mahu dipandang tinggi, dia hanya mahu dipandang seperti manusia biasa.

Dia membuka langkah perlahan meninggalkan dunianya. Jasadnya bergerak tanpa arah, berjalan ke haluan yang dia sendiri tidak tahu. Dia tidak lagi kisah kemana haluannya.

Dalam perjalanan yang tiada haluan itu dia berhenti kepenatan di sebatang sungai. Hairan, mengapa begitu ramai manusia disini. Diamati satu demi satu pergerakkan mereka. Dia tersenyum. Di sinilah destinasi yang sepatutnya dia tuju dari awal.

Dia tidak memberi apa-apa harapan untuk dirinya pada kali ini. Bila-bila masa saja dia boleh berselerak bersama yang lain. Buat masa sekarang, dia hanya mahu menikmati kehidupannya.

Monday, January 13, 2014

Perubahan




Berubah, change, bianhua, parivartana.


Tepat jam menunjukkan angka dua belas pada tahun baru 2013 dia nekad. Nekad untuk melakukan perubahan. Walaupun tahun-tahun sebelum ini, dia kerap kali memasang azam yang tak pernah dicapai. Untuk kali ini, dia tersedar dan menanamkan nekad yang membara ke dalam jiwanya. Impiannya hanya satu. Jadi, untuk setahun itu dia berhempas pulas melayani nekadnya.

Tiga belas hari lepas, manusia telah melangkah masuk ke tahun baru 2014 dan dia kini boleh tersenyum lebar. Walaupun masih ada sedikit kekurangan pada azamnya, rasa bangga itu tetap ada dalam dirinya. Bangga kerana dalam seumur hidupnya ini adalah kali pertama dia bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang dia benar-benar inginkan.

Malam ini dia terbaring di atas tilam dan berfikir panjang.

Apa pula lepas ni?