Monday, September 21, 2015

Aku rasa lama

Beberapa hari ini aku banyak menghabiskan masa di rumah. Aku hilang punca sebenarnya, tiada duit dan tiada kerja. Agaknya sudah beberapa abad aku berhibernasi di dalam rumah. Tiap kali aku lihat refleksi muka aku di dalam cermin, aku lihat sampah. Makin hari makin sampah. Ahh, semua orang akan tua.

Satu hari, datang rasa ingin membaca. Aku selak kembali buku-buku lama yang aku bawa masuk ke dalam bilik masa aku berpindah beberapa bulan lepas. Ini adalah antara buku-buku yang terselamat daripada dibuang. Bukan aku berniat membazirkan buku yang bagus, tetapi aku malas sebenarnya. Malas untuk mengemas dan aku benci keserabutan ketika mengemas. Cuma jangan bagi aku terjumpa buku-buku masa aku sekolah rendah dan menengah dahulu sahaja. Kenapa? Aku akan baca balik buku-buku itu. Bukan bahagian pelajaran. Tetapi bahagian contengan-contengan mengutuk cikgu dan kawan-kawan. Perangai aku sebenarnya boleh tahan lawak jugak satu masa dahulu. Agaknya benar apa yang kawan aku katakan, "budak gemuk semua lawak".

Hari ini, aku membaca buku yang diberikan kepadaku. Tiba di satu mukasurat aku terjumpa penanda buku dan serta-merta aku teringat. Aku dah ada bini wei. Aku tersenyum dan bergolek sampai meletup.

Oh, aku juga rasa tua.

Monday, July 6, 2015

Hang kat mana la ni?

"Hang jangan risau, bank lulus ja aku punya kertas kerja aku terus panggil hang. Hang rileks ja. Aku bagi job untuk hang. Setakat aku hidup sekarang ni, bukan nak sembang besaq la. Duit tu bukan masalah aku la. Hang kenai dak butik kat hujung sana tu. Dia tu bukan tau apa pun. Orang kata dia start dari bawah. Tu semua tipu" Abang botak keras bersuara. Meja-meja di sebelah semua memandang. Sekali sekala dia meludah kahaknya ke tepi meja. Aku sekadar geli di dalam hati.

"Oh, yaka bang? Terima kasih la nak bagi job besar kat saya" Aku balas malas tapi teruja.

"Jom la aku nak balik dah ni. Hang setel sat meja ni." Abang botak terus bangun, salam dan bergerak ke kenderaannya.

Beberapa bulan kemudian, aku terserempak dia di kedai makan dengan beberapa orang. Aku menghampiri mejanya.

"Hang jangan risau......." Dari jauh aku dengar dialognya. Dialog yang hampir sama bunyi, nada dan tidak lupa kelajuan ludahnya ke sebelah tepi meja.

Aku matikan langkahku, patah balik, tekan alarm kereta dan bergerak pergi.

Tak apa. Kalau kau tak cuba, kau tak tahu kau boleh pergi mana. Apa yang aku belajar setahun ini adalah aku belajar untuk menjadi lebih plastik dengan manusia. Syukurlah aku pernah bekerja di gerai makan lepas SPM dulu. Sekurang-kurangnya aku dah ada basic untuk berpura-pura.

Sunday, June 28, 2015

Tunggu sekejap

Sebentar tadi aku dah buat pilihan untuk tidur. Rasanya macam idea yang bijak untuk terus tidur. Tapi entah, tiba-tiba kepala aku berputar pada blog ini. Mungkin sakanya memanggil untuk aku menulis atau mungkin aku terlalu banyak tidur sehingga kebosanan.

Jadi, aku memilih untuk membelek entri lama.

Oh, emosiku bercampur baur tika membeleknya. Entri-entri lama banyak membuatkan aku berfikir. Bagiku, ianya bukan idea bijak untuk berfikir di awal pagi ini. Tapi, alang-alang aku dah mula berfikir. Apa salahnya aku terus berfikir. Berfikir kadang-kadang ada baiknya.

Sesekali aku tersenyum. Ada entri yang pekat ditulis dalam naungan dadah dan ada entri yang ditulis dalam keinsafan dan ada juga entri yang ditulis hanya sekadar menarik perhatian orang. Walaupun aku adalah seorang penakut yang takut jika ada orang lain yang membaca blog aku. Aku takut untuk dihakimi manusia. Dari mana perasaan itu datang? Aku sendiri pun masih mencari. So, berbalik kepada menarik perhatian. Sebenarnya aku sendiri pun tidak tahu siapa yang aku nak tarik perhatiannya. Kah. What a miserable cunt i am. Tapi tak apa, itu yang membuatkan aku lebih dewasa. (Ayat manusia yang konon menenangkan diri sendiri)

Penakut.

Oh ya, sifat tu masih ada dalam diri aku selepas hampir beberapa abad aku hidup. Orang cakap, sifat buruk kita senang nak buang. Bagi aku, kau boleh buang jauh-jauh sifat tu. Tapi, sedikit sebanyak sifat tu masih ada lagi lekat dalam diri kau. Macam kau basuh taik, tapi ada sedikit kesan koko lagi dekat punggung kau. Okay, itu simbolik yang tak kena. Jangan ambil peduli.

Berbalik kepada penakut. Walaupun aku tidak berjaya mengikis sifat ini, tapi serangan penyakit ini semakin hari semakin pudar. Mungkin kerana peredaran umur dan keadaan hidup yang semakin mendesak. Terdesak? Bagi aku yang sedang terkontang-kontang untuk survive dalam hidup ini, segalanya nampak seperti peluang. Bukan aku mengeluh, tetapi ini adalah realiti hidup yang aku kena hadap. Mahu atau tidak, suka atau tidak, aku kena hadap.

Cerita pasal hadap. Aku dah hadap macam-macam jenis manusia. Macam-macam jenis dosa. Tapi satu jenis manusia saja yang aku baru sangat-sangat hadap. Yang jenis bila bersembang dia buat body contact dengan kita. Bila bersembang dia nak sentuh-sentuh, pegang tangan, usap-usap. And the worst part is, lelaki.

Aku geli wei.