Saturday, August 11, 2012

Selamat tinggal

Hari-hari yang berlalu semua seperti biasa, tak ada gembira tak ada sedih. Berada dalam keadaan kacau bilau seharian, dimaki hamun, menjadi bahan cerita, semuanya ditelannya sekali harung.

Bergaul dengannya seperti tiada apa masalah walaupun kami berada dalam satu keluarga yang besar dan berlainan agama.

Bulan lepas, dia koma sebentar. Terjaga dari koma, dia bercerita tentang mimpi yang dia harungi semasa koma. Katanya, abang sepupunya yang telah meninggal menampar mukanya seperti menyuruh dia teruskan kehidupan. Katanya lagi, peluang yang diberikan selepas ini akan digunakan sebaiknya. Aku tidak terlalu memikirkan tentang apa yang dia katakan sebab aku tahu kalau dia tidak koma pun, dia adalah seorang yang kuat.

Walaupun dengan keluarga yang bermasalah, dia tidak menunjukkan riak muka mahupun perbuatan yang menunjukkan dia mempunyai masalah di rumah. Yang dia tahu, jika kakaknya dipukul dia akan membawanya lari keluar rumah sehingga segalanya reda dan kemudian dia akan tersenyum semula.


Ada satu hari, dia berbual dengan orang tua aku. Tentang keluarganya, cintanya, dan hidupnya. Aku pula, hanya ketawa kepadanya. Sebab aku tak pernah nampak dia begitu serius dalam perbualan.

Walaupun dalam umur yang masih muda, aku tahu banyak dalam fikirannya yang membuatkan dia lebih matang dari aku.

Kali terakhir aku berjumpanya, dia bercerita tentang seorang perempuan. Dari senyumnya itu, aku tahu dia gembira. Nak pegang hensetnya pun tak boleh. Takut aku baca mesej kononnya.

Itu adalah kali pertama dia bercakap tentang hidupnya. Sebab, aku dan dia tidak banyak bercakap tentang perkara yang berat.


Hari ini, aku tak akan dapat lagi bercakap tentang hidupnya, cintanya, atau apa saja selamanya.

Selamat tinggal.