Friday, February 14, 2014

Hari terakhir minggu ini


"Blah. Blah. Syuh. Syuh. Pi tidoq tempat lain" diterajangnya seekor kucing menggunakan hujung kasutnya berkali-kali. Padahal si kucing itu hanya tidur di tepi koridor. Dengan wajah yang berat kerana dikejutkan dengan kasar, si kucing pun berlalu pergi. Lelaki itu tersenyum sendiri kerana dia merasakan dirinya adalah seperti Beastmaster yang mampu berkomunikasi dengan binatang.

Dia berjalan sambil tangannya menyisir rambut. Terasa begitu bahagia. Namun kebahagiaannya itu berubah menjadi kerisauan yang tiba-tiba. Dilihat kiri dan kanannya. "Pelik. Mana pergi semua orang?" hatinya berbisik risau. Kesunyian ini adalah sesuatu yang luar biasa baginya.

Dia berjalan lagi. Rambutnya yang lembik kerana basah dek peluh dibiarkan sahaja. Pelbagai persoalan dan tanggapan yang bukan-bukan bermain dalam kepalanya.

Pada masa yang sama, muncul seekor gorilla yang ganas di hadapannya. Dia melompat tekejut, kerana seumur hidupnya ini adalah pertama kali dia melihat binatang hitam berbulu ini. Selalunya dia hanya melihat binatang seperti ini di dalam filem-filem barat dan melalui ilustrasi kartun yang kerap dilukis sahabatnya pada sekolah menengah bagi mengejek seorang kawannya yang lain kerana hitam dan gemuk.

"Ahh. Sudah. Macam mana nak handle binatang buas ni?" Ujarnya dalam ketakutan. Walaupun dalam keadaan yang serius itu, dia sempat lagi mengeluarkan dialog yang bercampur dengan bahasa inggeris. Urban benar bahasanya.


Gorilla itu mula membuka langkah. Dia berdiri dan menumbuk-numbuk dadanya sambil mulutnya dibuka luas menampakkan giginya yang tajam dan garang itu.

BUM! BUM! BUM!

"Jahanam. Binatang ni takkan makan manusia?" Dia terduduk kerana terlalu takut.


Gorilla itu membuka langkah dengan tangannya menumbuk tanah dan bergerak menuju kearahnya. Kini, gorilla itu berada benar-benar di hadapannya.

BUM! BUM! BUM!

Sekali lagi gorilla itu menumbuk-numbuk dadanya. "Eh?" Dia seperti dapat menangkap sesuatu tetapi dia sendiri pun tidak tahu apa. Bunyi tumbukan itu seperti pernah didengarnya.

BUM! BUM! BUM!

"Hmm."

BUM! BUM! BUM!

"Bunyi macam...." Belum sempat kata-katanya itu dihabiskan, matanya terbeliak. Dia melompat seperti seekor kijang yang melarikan diri dari pemangsa. Dicapainya tuala dihujung katil dan terus berlari menuju ke arah bilik air. Emaknya yang mengetuk pintu bilik hanya mendiamkan diri melihat kelakuan anaknya yang begitu dewasa.

Pagi itu dia memandu bersama mata yang berair.

"Awat alarm tak bunyi?" Ujarnya dalam hati sambil buku limanya digenggam erat tanda geram.