Wednesday, January 29, 2014

Lahir semula untuk kali ketiga puluh




Peluhnya menitik-nitik mengejar kelajuan masa yang semakin kejam memecut meninggalkannya di belakang. Satu demi satu langkahnya dibuka luas dan laju. Dia kemudian berhenti dan mencapai remote kelajuan masa yang diperolehnya daripada syaitan yang telah membeli separuh dari jiwanya. Separuh lagi jiwanya telah dipecah-pecahkan dan diberikan kepada beberapa orang gadis yang dia sendiri pun tidak kenal. Dasar lelaki.

Ditekannya butang slow-mo berkali-kali dengan riak muka yang luar biasa dan giginya diketapkan. Wajahnya nampak serius, seserius lelaki yang tak dapat apa-apa pada malam pertama.

Kelajuan masa yang telah dikurangkan kepada negatif seratus seperti tiada kesan. Kelihatan wajah-wajah disekelilingnya masih bergerak laju sambil melontarkan pandangan yang hambar kepadanya. Wajahnya kini kelihatan sayu.

Dia berharap jika dia bergerak laju seperti mereka yang lain dia tidak akan lagi dipandang seperti orang asing. Dia tidak mahu dipandang tinggi, dia hanya mahu dipandang seperti manusia biasa.

Dia membuka langkah perlahan meninggalkan dunianya. Jasadnya bergerak tanpa arah, berjalan ke haluan yang dia sendiri tidak tahu. Dia tidak lagi kisah kemana haluannya.

Dalam perjalanan yang tiada haluan itu dia berhenti kepenatan di sebatang sungai. Hairan, mengapa begitu ramai manusia disini. Diamati satu demi satu pergerakkan mereka. Dia tersenyum. Di sinilah destinasi yang sepatutnya dia tuju dari awal.

Dia tidak memberi apa-apa harapan untuk dirinya pada kali ini. Bila-bila masa saja dia boleh berselerak bersama yang lain. Buat masa sekarang, dia hanya mahu menikmati kehidupannya.

No comments:

Post a Comment