Friday, May 16, 2014

Beberapa tahun kemudian

Melihat kembali kehidupanku beberapa tahun lepas membuatkan aku berfikir panjang dalam suasana sejuk yang terhasil daripada hujan di luar sana. Dalam perjalan kehidupan aku, aku banyak memasang cita-cita. Ada masa cita-cita itu dipatahkan, ada masa cita-cita itu kembali membara. Aku pun tak pasti apa yang membuatkan aku sekarang kembali on track. Mungkin hasil daripada asakan rakan-rakan. Yang aku pasti, sekarang aku telah kembali mengikuti jalannya. Walaupun kadang-kadang terselerak sebentar.Ya, masih banyak perkara yang perlu aku atur kembali.

Banyak insan yang bermain di kepalaku sekarang. Sejujurnya, entri ini terhasil daripada status-status di facebook yang rata-ratanya mengucapkan selamat hari guru kepada guru mereka. Biarkan mereka sebentar di situ. Dalam perjalanan aku dari zaman belum baligh, banyak jenis cikgu aku jumpa. Ada yang membakar semangat dan ada yang mencurahkan air kepada semangat yang membakar itu. Aku tidak menyalahkan mereka. Mungkin salah aku yang terlalu bersikap "memberontak". Biasalah budak-budak, semua benda nak lawan. Hati memberontak. Kononnya punk habis-habisan, tapi bila umur semakin tua baru aku sedar bahawa punk itu sebenarnya bukan hanya sekadar memberontak ianya lebih dari itu. Ahh, biarkan sebentar pasal ini. Ada masa akan aku tuliskan entri aku dan punk. Sebenarnya, aku pun tak pasti apa yang aku marahkan dulu.

Semakin umurku meningkat, semakin banyak guru yang aku jumpa. Bagiku, semua orang adalah guru. Jika kau mengajar aku untuk membuat kerja, kau adalah guru ku. Jika kau mengajar aku menghisap rokok, kau adalah guruku dan begitulah seterusnya. Jadi, ini adalah entri untuk semua rakan-rakan dan manusia lain yang pernah mengajar aku.

Jadi, untuk mereka yang memperkenalkan aku kepada segala subjek di sekolah, agama, internet, muzik, segala bala instrumen, komputer, menguruskan badan, cara survive tanpa duit, menipu, membawa kereta, membuat segala jenis akaun, tempat membeli barang murah, makanan baru, tidak lupa lagi kepada yang membakar semangat aku untuk berubah, yang memberi kata-kata semangat, yang mengajar benda-benda baru, dan semua benda yang aku sendiri pun tak larat nak taip. Aku dengan ini mengucapkan selamat hari guru kepada kamu.

Semua orang adalah guru. Walaupun kau hanya duduk rumah goyang telur. Telur yang bergoyang itu adalah punca kepada orang lain untuk bekerja keras. Okay, itu tidak masuk akal.



Sekian dahulu dari saya.

Onani.

Kbai.

Friday, February 14, 2014

Hari terakhir minggu ini


"Blah. Blah. Syuh. Syuh. Pi tidoq tempat lain" diterajangnya seekor kucing menggunakan hujung kasutnya berkali-kali. Padahal si kucing itu hanya tidur di tepi koridor. Dengan wajah yang berat kerana dikejutkan dengan kasar, si kucing pun berlalu pergi. Lelaki itu tersenyum sendiri kerana dia merasakan dirinya adalah seperti Beastmaster yang mampu berkomunikasi dengan binatang.

Dia berjalan sambil tangannya menyisir rambut. Terasa begitu bahagia. Namun kebahagiaannya itu berubah menjadi kerisauan yang tiba-tiba. Dilihat kiri dan kanannya. "Pelik. Mana pergi semua orang?" hatinya berbisik risau. Kesunyian ini adalah sesuatu yang luar biasa baginya.

Dia berjalan lagi. Rambutnya yang lembik kerana basah dek peluh dibiarkan sahaja. Pelbagai persoalan dan tanggapan yang bukan-bukan bermain dalam kepalanya.

Pada masa yang sama, muncul seekor gorilla yang ganas di hadapannya. Dia melompat tekejut, kerana seumur hidupnya ini adalah pertama kali dia melihat binatang hitam berbulu ini. Selalunya dia hanya melihat binatang seperti ini di dalam filem-filem barat dan melalui ilustrasi kartun yang kerap dilukis sahabatnya pada sekolah menengah bagi mengejek seorang kawannya yang lain kerana hitam dan gemuk.

"Ahh. Sudah. Macam mana nak handle binatang buas ni?" Ujarnya dalam ketakutan. Walaupun dalam keadaan yang serius itu, dia sempat lagi mengeluarkan dialog yang bercampur dengan bahasa inggeris. Urban benar bahasanya.


Gorilla itu mula membuka langkah. Dia berdiri dan menumbuk-numbuk dadanya sambil mulutnya dibuka luas menampakkan giginya yang tajam dan garang itu.

BUM! BUM! BUM!

"Jahanam. Binatang ni takkan makan manusia?" Dia terduduk kerana terlalu takut.


Gorilla itu membuka langkah dengan tangannya menumbuk tanah dan bergerak menuju kearahnya. Kini, gorilla itu berada benar-benar di hadapannya.

BUM! BUM! BUM!

Sekali lagi gorilla itu menumbuk-numbuk dadanya. "Eh?" Dia seperti dapat menangkap sesuatu tetapi dia sendiri pun tidak tahu apa. Bunyi tumbukan itu seperti pernah didengarnya.

BUM! BUM! BUM!

"Hmm."

BUM! BUM! BUM!

"Bunyi macam...." Belum sempat kata-katanya itu dihabiskan, matanya terbeliak. Dia melompat seperti seekor kijang yang melarikan diri dari pemangsa. Dicapainya tuala dihujung katil dan terus berlari menuju ke arah bilik air. Emaknya yang mengetuk pintu bilik hanya mendiamkan diri melihat kelakuan anaknya yang begitu dewasa.

Pagi itu dia memandu bersama mata yang berair.

"Awat alarm tak bunyi?" Ujarnya dalam hati sambil buku limanya digenggam erat tanda geram.

Wednesday, January 29, 2014

Lahir semula untuk kali ketiga puluh




Peluhnya menitik-nitik mengejar kelajuan masa yang semakin kejam memecut meninggalkannya di belakang. Satu demi satu langkahnya dibuka luas dan laju. Dia kemudian berhenti dan mencapai remote kelajuan masa yang diperolehnya daripada syaitan yang telah membeli separuh dari jiwanya. Separuh lagi jiwanya telah dipecah-pecahkan dan diberikan kepada beberapa orang gadis yang dia sendiri pun tidak kenal. Dasar lelaki.

Ditekannya butang slow-mo berkali-kali dengan riak muka yang luar biasa dan giginya diketapkan. Wajahnya nampak serius, seserius lelaki yang tak dapat apa-apa pada malam pertama.

Kelajuan masa yang telah dikurangkan kepada negatif seratus seperti tiada kesan. Kelihatan wajah-wajah disekelilingnya masih bergerak laju sambil melontarkan pandangan yang hambar kepadanya. Wajahnya kini kelihatan sayu.

Dia berharap jika dia bergerak laju seperti mereka yang lain dia tidak akan lagi dipandang seperti orang asing. Dia tidak mahu dipandang tinggi, dia hanya mahu dipandang seperti manusia biasa.

Dia membuka langkah perlahan meninggalkan dunianya. Jasadnya bergerak tanpa arah, berjalan ke haluan yang dia sendiri tidak tahu. Dia tidak lagi kisah kemana haluannya.

Dalam perjalanan yang tiada haluan itu dia berhenti kepenatan di sebatang sungai. Hairan, mengapa begitu ramai manusia disini. Diamati satu demi satu pergerakkan mereka. Dia tersenyum. Di sinilah destinasi yang sepatutnya dia tuju dari awal.

Dia tidak memberi apa-apa harapan untuk dirinya pada kali ini. Bila-bila masa saja dia boleh berselerak bersama yang lain. Buat masa sekarang, dia hanya mahu menikmati kehidupannya.

Monday, January 13, 2014

Perubahan




Berubah, change, bianhua, parivartana.


Tepat jam menunjukkan angka dua belas pada tahun baru 2013 dia nekad. Nekad untuk melakukan perubahan. Walaupun tahun-tahun sebelum ini, dia kerap kali memasang azam yang tak pernah dicapai. Untuk kali ini, dia tersedar dan menanamkan nekad yang membara ke dalam jiwanya. Impiannya hanya satu. Jadi, untuk setahun itu dia berhempas pulas melayani nekadnya.

Tiga belas hari lepas, manusia telah melangkah masuk ke tahun baru 2014 dan dia kini boleh tersenyum lebar. Walaupun masih ada sedikit kekurangan pada azamnya, rasa bangga itu tetap ada dalam dirinya. Bangga kerana dalam seumur hidupnya ini adalah kali pertama dia bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang dia benar-benar inginkan.

Malam ini dia terbaring di atas tilam dan berfikir panjang.

Apa pula lepas ni?

Saturday, December 21, 2013

Kesan sampingan dari kehidupan

Tika orang lain sedang enak bermimpi, mataku segar terbuka pada pagi ini. Hujan lebat diluar membuatkan hatiku sedikit marah kerana tidak dapat menikmati tidur yang selesa.

"Damn" ucap hatiku lemah.

Sebatang rokok ku cucuh bagi mencapai mengantuk yang ku idamkan. Dari satu menjadi dua, dari dua menjadi empat. Kepala semakin pening, tapi mata ini masih segar. Segar bagai sayur di Cameron.

Dalam keserabutan ciptaan sendiri ini, aku mula mengira tahun. Aku tersedar, telah banyak masa yang aku bazirkan. Sesal itu memang ada, tapi kerja yang berlonggok di desktop langsung tidak ku sentuh. Ketika inilah aku amat memerlukan semangat "hendak seribu daya, tak nak seribu dalih".

Kali ini aku nekad untuk membuat kerja secara sekali harung. Aku tutup segala benda yang boleh menarik perhatianku. Facebook, Twitter, Youtube, Yujis, dan segala mak nenek Media Player.

Yang tinggal hanya aku dan Microsoft Office dan beberapa fail pdf dihadapanku. Sedang jariku menaip beberapa perkataan, tanganku menggeletar. Ahh, sudah. Kakiku yang tadi sedang elok bersila tiba-tiba kejang dan terasa seperti buih-buih hendak memancut keluar dari mulutku.


Aku bergetar-getar di atas tilam. Seperti remaja yang sedang shuffle. Aku cuba bangkit, tetapi tiada respon dari tubuhku.

Ketika kakiku sedang bergetar-getar itu, aku tertendang mouse lalu tertutup segala kerja-kerjaku. Seperti tiada apa-apa, aku kembali normal. Hairan.

Sekarang, dengan hati dan perasaan yang bercampur baur aku menaip entri baru.

Aku rasa, aku ada alergik.