Friday, December 6, 2013

Kehidupan aku setakat ini


Malam ini adalah malam yang terbosan dalam hidupku. Segala yang aku lakukan serba tak kena. Paling perit bila semua lagu yang aku dengar mula masuk akal. Lirik yang bersepah-sepah mula memberikan seribu satu makna kepadaku.

Seperti seorang penyiasat, otakku ligat menterjemahkan bait-bait lirik yang beralun di dalam atmosfera bilikku yang kecil dan sejuk ini.

Selepas aku ditegur tadi, baru aku perasan.

Siapa pula yang tegur aku dalam rumah yang kosong ni?

Mungkin itu adalah suara yang muncul akibat dari tidurku yang berlebihan.

Jadi, kerana ketakutan aku pun bangun dan mula menulis. Dengan harapan mata yang ligat dan badan yang penat ini akan memberikan peluang kepadaku untuk menikmati tidur yang lena.

Aku benci perasaan takut yang tiba-tiba datang macam ni.

Aku rasa, mungkin suara itu adalah suara dari saka blog ini yang mahu aku menulis sesuatu.

Saturday, October 26, 2013

This is it

Semalam tika aku membelek-belek entri lama, aku terasa untuk membuat sedikit pembersihan. Entah apa yang membuatkan aku terasa untuk membersihkan blog.

Aku dah hantar beberapa entri lama masuk ke draft.

Walaupun hanya ke draft, terasa sedikit dari jiwa ini seperti hilang.

Sigh.

Sunday, October 20, 2013

Hidup

Cuti aku dah habis.

Aku perlu kembali mengadap benda yang aku tak suka. Ini bermakna aku perlu kembali ke alam nyata dan berkomunikasi dengan manusia. Paling teruk, berkomunikasi dengan orang aku tak suka. Komunis.

Aku perlu tune waktu tidur aku untuk menepati ciri-ciri manusia biasa.

Manusia biasa.

Aku nk jadi luar biasa.

Sigh.

Friday, February 15, 2013

Cari jalan pulang dan cuba untuk terbang

Tak banyak perkara yang mencabar muncul dalam hari-hari kehidupan aku kebelakangan ini. Aku hanya biasakan diri untuk menjadi seperti orang lain. Malas untuk melakukan perkara yang bermasalah mungkin. Atau mungkin aku malas. Malas dengan peredaran umur.

Agaknya aku telah "dibasuh" dan menjadi orang kebanyakkan. Agaknya aku telah terpengaruh dengan sistem. Belajar -> habis belajar -> cari kerja -> bayar hutang -> tambah hutang -> kahwin -> tua -> insaf dan mati. Itu pun kalau sempat. Heh


Banyak perkara yang aku telah lepaskan. Walaupun aku sedar yang aku telah menjadi apa yang dibancuh, tapi segalanya seperti telah sebati. Banyak perkara yang aku risaukan. Banyak perkara mula aku tinggalkan. Banyak kawan telah aku buangkan.

Apakah perkara yang aku lakukan ini berbaloi?

Harapnya segala yang aku lakukan ini memberikan pulangan yang berbaloi untuk kehidupan aku. Aku sebenarnya mahu untuk tidak berubah tetapi ini adalah ketentuan-Nya.

Agaknya aku masih sama.

Mungkin.  

Apa lagu baru sekarang eh? Justin Bieber masih popular ka? 

Thursday, December 6, 2012

Empat jam masa hadapan

Aku hanya melihat putaran itu dibawa pergi. Jika diikutkan hati ini, mahu sahaja aku berputar bersama engkau. Itu jika diikutkan hati. Tapi ternyata kaki ini lebih suka mendiamkan diri mengikut apa sahaja gerakan keras sebiji batu. Biarkan sahaja, mari kita pulang wahai hati kosong.

Aku cuba bertanya banyak soalan kepada kau dalam angan-angan petangku, tetapi kau sibuk. Sibuk menjadi angan-angan. Jadi, aku bawa roh aku ke sebuah kawasan lebih gelap.

Disitu aku tersesat. Susah mahu meronta dalam kawasan yang sepi ini, tiada bunyi mahu mewarnai jalanku. Tiada warna mahu memberikan frekuensi kepadaku. Apa gila yang sedang terjadi ini? Aku mahu meminta, tapi hanya debu keluar dari kotak suaraku.

Aku berhenti di hadapan jam besar dimana nombornya adalah huruf dan bunyinya adalah warna. Segalanya asing, seperti pertama kali ditendang ke udara.

Bong!

Keluar kepala manusia, menunjukkan jam tepat pada sesuatu waktu yang aku tidak tahu. Bunyi bong! ketiga itu menyedarkan aku.

Rupanya aku tersesat dalam matamu.