Sunday, September 10, 2017

Rantai

Hari itu, aku hanya berada di dalam kotak hitamku. Tiada apa yang aku lakukan. Kaku membilang hari.

Si dinding bersuara "Keluarkanlah si hitam itu dari dadamu. Ku lihat mukamu tidak ubah seperti meja yang tidak bernyawa itu". Pandangan ku beralih kepada meja berwarna merah jambu dihadapanku. Kaku, diam begitu.

Aku beralih kepada dinding. Soalannya yang tidak masuk akal itu aku hadam. Aku bertanya kepada si dinding "Kenapa perlu aku? Kenapa bukan Sang Pencipta yang keluarkan. Bukankah dia yang berkuasa untuk segalanya, bukankah dia akan membantu mereka yang betul-betul mahukannya?".

Dinding diam tidak berkata. Aku tekapkan telingaku dekat kepadanya. "Aku mahukan jawapan." ujarku.

Diam.

Di luar, burung-burung berkicau mendendangkan lagu ejekan. Satu demi satu terbang sambil ketawa. Sekali sekala aku menyelak langsir biru. Ku hanya mampu melemparkan pandangan kepada si bebas itu.

"Kamu tak apalah, tidak perlu berfikir."

Di luar kotak hitamku, terdapat seorang tua sedang bergembira. Berbaju hitam dan dapat dilihat bekas biru disekeliling lehernya.

"Marilah. Tamatkan segalanya dan kau akan gembira selamanya."

Di sudut lain, seorang lelaki tua berkopiah sedang berehat.

"Bertenang dahulu." Ujarnya lemah.

Aku mengalih pandanganku kepada si tua berbaju hitam. Kegembiraan jelas berada di situ. Aku cuba untuk mendekati si tua berbaju hitam.

*Prak*

Kaki ku tersangkut di situ. Aku tidak dapat pergi ke sana. Ku lihat dibawah, rupanya kaki ku dirantai. Aku cuba menjejaki dari mana rantai itu datang. Aku mengikutnya, rupanya puncanya berada di kerusi si tua berkopiah.

Aku mendekati si tua dan cuba untuk melepaskan rantai itu. Susah.

"Si muda, apa yang kau mahukan?"

"Aku nak lepaskan rantai ini"

"Rantai itu hanyalah ilusi wahai si muda. Kau yang letakkan rantai itu." Si tua berkata lemah. Belum sempat aku bertanya, dia menyambung "Kau mampu melepaskan segalanya kerana itu hanyalah dalam pemikiran kau. Aku tak dapat membantumu jika kawalan hati dan akalmu telah lemah. Aku hanya iman yang kecil. Lebih dalam kau cari, kuatlah aku."

"Jadi, kenapa kau lemah wahai si tua?"

"Kau lihat di sana, si tua yang bergembira itu. Hari demi hari ku lihat dia semakin sihat. Tubuhnya semakin muda, kekuatannya luar biasa."

Aku mengalih pandanganku ke arah sana. Ya, dia semakin muda. Si tua bergembira itu semakin muda.

"Boleh aku bertanya?"Ujar si tua, lemah.

"Ya. Silakan"

"Apa yang berlaku dalam kepalamu sekarang?"

Sunday, August 13, 2017

Setelah sekian lama

"Tulislah.." ujar seorang sahabat dalam perjalan pulang ke Kuala Lumpur.

Pelbagai gambaran di dalam kepala Pok Nik mula dimainkan. Berusaha keras dia memikirkan keunikan hidupnya. Satu-satu dia asingkan. 

Dia memandang keluar cermin kenderaan. 

"Adakah ambe dah beruboh?"

Tuesday, June 21, 2016

Lelaki semua sama

Seorang lelaki kelihatan sedang mundar mandir di bawah lot kedai. Dia mendongak kearah papan tanda kedai itu. Tapak kaki berkelip-kelip.

Air mukanya nampak seperti sedikit resah. Sesekali dia memandang pelanggan di kedai mamak sebelah semuanya sedang enak bercerita. Dia mencucuh sebatang rokok john kelabu. Dihembusnya perlahan tetapi penuh semangat. Jam Casio yang melingkar di tangannya menunjukkan pukul 2 pagi.

Dia melihat sekali lagi kearah tangga. Kakinya melangkah bersama nafasnya ditarik dalam-dalam sambil melangkah naik satu demi satu anak tangga menuju ke tingkat atas. Di ruang kedai atas, terdapat banyak pecahan-pecahan bilik yang bahagikan dengan kain tirai tebal.

Walaupun suasana di bawah kosong, tetapi lot kedai di atas sangat meriah. Dia melihat kiri dan kanan. Dahinya mengeluarkan sedikit peluh. Tidak banyak, tetapi cukup untuk membuatkannya rimas. Dia berjalan menuju ke sofa. Seorang lelaki keluar dari bilik, mukanya tersenyum. Di belakangnya seorang gadis rendah bersinglet hitam dan berskirt kelabu berjalan sambil mengira wang di tangannya. Lelaki tadi menoleh ke belakang dan mencium pipi gadis tadi. Gadis itu menolak manja sambil berjalan menuju ruang belakang kedai dan lelaki itu turun ke bawah.

"Bos. You mau yang mane? Tinggal tiga orang lagi. Kalau you mau yang lain you kena tunggu lor" Sapa seorang lelaki cina tua.

"Linda ada?" Dia balas ringkas.

"Linda lagi sepulow minit baru avalubel (available), lu mau ke?"

"Boleh. Boleh." Jawabnya sambil melihat jam Casionya.

Punggungnya dilabuhkan ke atas sofa merah berbentuk tangan. Dilihatnya televisyen yang pada ketika itu menayangkan cerita lakonan Jackie Chan. Rancangan itu agak menarik perhatiannya, kerana dia seorang peminat wayang aksi. Sesekali dia menjeling kearah lengannya.

"Hmmmmphh" Dia mendengus panjang.

"Zuuuuullllllllll"

Dia menoleh kebelakang. Wajahnya yang risau-risau tadi berubah menjadi sedikit manis ketika dia melihat wajah ceria Linda.  Dia mengukir senyuman, sambil matanya mencuri pandang kearah badan Linda. Belum sempat dia bercakap, Linda menarik tangannya dan membawa dia ke dalam satu bilik.

Biliknya berwarna merah lembut, disebelah katil terdapat meja kecil yang diletakkan bunga ros di dalam pasu jernih, di sebelahnya lilin kecil menyala, apinya menari-nari ditiup penghawa dingin, bau lavendar memenuhi setiap inci bilik tersebut. Linda senyum melihat Zul yang seperti malu-malu. Linda menggeliatkan badannya mahu membuka baju. Zul menghalangnya.

"Takpe, jangan buka. I nak bersembang je."

"You know right zul? Bersembang atau tidak, you hanya ade sejam and you have to pay me 180 okay?"

"Shh, i know babe. Don't kill this moment please. I kan customer tetap you."

Linda tersenyum. Dia merapati mukanya kearah Zul dan mencium pipinya. Dia menarik zul ke katil. Zul terbaring dan Linda pun turut berbaring di sebelah Zul.

"So, what happen zul?" Ujar Linda sambil bermain dengan rambut Zul.

"Nothing, i just nak cari tempat untuk berbual. I teman bercerita mengenai bulan dan bintang, tentang angin, laut, politik, peperangan, lawak bodoh, resipi masakan, cerita kanak-kanak. I mahukan cerita mengenai kehidupan."

Linda tersenyum. "Go on, pretty boy. Ape dalam kepala you? Are you on something?"

Zul menggeleng.

"You tahu Linda, i ada terbaca buku mengenai cinta orang zaman dahulu."

"Oh? Best ke buku tu?" Linda mengangkat keningnya seperti terkejut.

"Tak best langsung. I cuma tertarik dengan bunga-bunga ayatnya, tentang bagaimana dari bukunya itu mampu membuatkan i berfikir. Jika manusia tidak seharusnya bersama atas dasar kaum dan agama, mengapakah cinta itu perlu ada? Itu persoalan yang bermain dalam kotak fikiran i."

"Well, kalau buku tu mampu membuatkan you berfikir sedalam ini i rase buku itu takdelah seteruk yang you sangkakan?"

Zul terdiam.

"Mengapa perlu you berfikir sedalam itu jika you percaya cinta itu ada. You tahu, manusia bisa move on. Cinta datang dan pergi. You cakap you cinta, but what if you you tak dapat cinta you itu? You will turn your back and move on right? Cinta itu tak semestinya memiliki. Ramai yang datang sini atas dasar cinta. Mereka cintakan seks dan bukan pada jasad. Ada yang dah berkeluarga dan ada yang tidak berkeluarga, ada yang berseronok dan ada yang datang kerana kesedihan. Cinta itu luas. Jika you hidup abadi pun Zul, tak mungkin you dapat mencari maknanya"

Zul duduk bersila. Dia mengeluarkan kotak john yang hampir pecah di dalam poket seluarnya. Dia melihat wajah Linda dan gadis berambut merah itu menggangguk kepalanya memberi kebenaran kepada Zul untuk mencucuh rokok.

"Betul ape yang you cakap, tapi i masih buntu. Mungkin i tersilap untuk mengeluarkan persoalan ini tika bersama you."

"It's okay Zul. Orang yang nak buat loan dengan bank pun datang bersembang dengan i. I bukan semata-mata hanya tempat untuk berhubungan, kadang-kadang i juga memainkan role sebagai seorang mak"

Zul ketawa. "Ye, i bukan macam lelaki lain yang datang untuk seks. I hanya perlukan teman untuk berbual."

Linda tersenyum. "So i dah berjaya mengurangkan beban di dalam kepala you ke?"

"Kinda" Ujar Zul ringkas. Zul kembali berbaring di sebelah Linda sambil tangannya diletakkan di bawah kepala Linda. Linda memeluk Zul.

"Zul. You pernah terfikir tak macam mana kalau tiba-tiba dunia ini musnah? Ape you akan buat?"

Zul melihat angka-angka di jam Casionya. Empat puluh lima minit telah berlalu.






...






Zul mencucuh sebatang rokok lagi sambil memakai semula seluarnya. Sebelum keluar bilik, dia mencium pipi Linda yang masih bersila di atas katil tidak berbaju. Linda tersenyum sambil melambai.






...






"Sepuluh kali datang, sepuluh kali cakap tak nak seks." Ujar Linda sambil bersila di atas katil mengira not-not satu ringgit yang ditinggalkan Zul kepadanya.

"I bukan macam lelaki lain yang datang untuk seks. I hanya perlukan teman untuk berbual." Linda mencebikkan mulutnya mengulang ayat Zul kepadanya sebentar tadi.

"Bangsat"



Monday, September 21, 2015

Aku rasa lama

Beberapa hari ini aku banyak menghabiskan masa di rumah. Aku hilang punca sebenarnya, tiada duit dan tiada kerja. Agaknya sudah beberapa abad aku berhibernasi di dalam rumah. Tiap kali aku lihat refleksi muka aku di dalam cermin, aku lihat sampah. Makin hari makin sampah. Ahh, semua orang akan tua.

Satu hari, datang rasa ingin membaca. Aku selak kembali buku-buku lama yang aku bawa masuk ke dalam bilik masa aku berpindah beberapa bulan lepas. Ini adalah antara buku-buku yang terselamat daripada dibuang. Bukan aku berniat membazirkan buku yang bagus, tetapi aku malas sebenarnya. Malas untuk mengemas dan aku benci keserabutan ketika mengemas. Cuma jangan bagi aku terjumpa buku-buku masa aku sekolah rendah dan menengah dahulu sahaja. Kenapa? Aku akan baca balik buku-buku itu. Bukan bahagian pelajaran. Tetapi bahagian contengan-contengan mengutuk cikgu dan kawan-kawan. Perangai aku sebenarnya boleh tahan lawak jugak satu masa dahulu. Agaknya benar apa yang kawan aku katakan, "budak gemuk semua lawak".

Hari ini, aku membaca buku yang diberikan kepadaku. Tiba di satu mukasurat aku terjumpa penanda buku dan serta-merta aku teringat. Aku dah ada bini wei. Aku tersenyum dan bergolek sampai meletup.

Oh, aku juga rasa tua.

Monday, July 6, 2015

Hang kat mana la ni?

"Hang jangan risau, bank lulus ja aku punya kertas kerja aku terus panggil hang. Hang rileks ja. Aku bagi job untuk hang. Setakat aku hidup sekarang ni, bukan nak sembang besaq la. Duit tu bukan masalah aku la. Hang kenai dak butik kat hujung sana tu. Dia tu bukan tau apa pun. Orang kata dia start dari bawah. Tu semua tipu" Abang botak keras bersuara. Meja-meja di sebelah semua memandang. Sekali sekala dia meludah kahaknya ke tepi meja. Aku sekadar geli di dalam hati.

"Oh, yaka bang? Terima kasih la nak bagi job besar kat saya" Aku balas malas tapi teruja.

"Jom la aku nak balik dah ni. Hang setel sat meja ni." Abang botak terus bangun, salam dan bergerak ke kenderaannya.

Beberapa bulan kemudian, aku terserempak dia di kedai makan dengan beberapa orang. Aku menghampiri mejanya.

"Hang jangan risau......." Dari jauh aku dengar dialognya. Dialog yang hampir sama bunyi, nada dan tidak lupa kelajuan ludahnya ke sebelah tepi meja.

Aku matikan langkahku, patah balik, tekan alarm kereta dan bergerak pergi.

Tak apa. Kalau kau tak cuba, kau tak tahu kau boleh pergi mana. Apa yang aku belajar setahun ini adalah aku belajar untuk menjadi lebih plastik dengan manusia. Syukurlah aku pernah bekerja di gerai makan lepas SPM dulu. Sekurang-kurangnya aku dah ada basic untuk berpura-pura.