Segala jalan yang dipilihnya mula dijadikan sebagai alasan mengapa dia begini. Kalaulah dia tidak menerima tawaran ini, mungkin dia sekarang sedang senang menggoyangkan kakinya dibelakang meja.
Mungkin.
Perutnya lapar, rokoknya habis, dan kepalanya serabut. Dia hanya terbaring melihat kawasan sekelilingnya. Barangnya telah habis dijual. Yang tinggal hanya sekeping jiwanya. Jika jiwa boleh dijual, telah lama jiwanya tiada. Telah lama jiwanya dijual.
Jika.
Ada pendapat mengatakan, duit bukan segalanya. Tanpa duit pun kau boleh gembira.
Pendapat itu ditolaknya mentah-mentah. Ditolaknya sebelum ayat itu ditamatkan. Apakah pendapat itu benar? Dia tidak tahu, yang bermain difikirannya sekarang bukanlah pendapat orang. Kalau semua pendapat boleh dijual mungkin dia akan mendengar dengan tabah. Tapi apa guna pendapat jika sekarang dia berada dalam satu situasi dimana dia betul-betul sesat dan lapar. Dia perlukan petunjuk dan bantuan.
Muncul pula satu lagi pendapat.
Apa gunanya kau terbaring dan hanya menunggu bantuan. Kau bukannya cacat.
Ya. Dia tidak cacat. Tapi apa yang perlu dia lakukan? Bukan salah dirinya jika dia sendiri buntu tanpa idea. Dalam kepalanya lapang, tiada penghujung.
Dan segala pendapat itu pun lari, lari jauh darinya. Tidak lagi mahu timbul dan mengacau kepalanya. Pendapat itu tahu yang dia tidak akan mendengar segala pendapat.
Dia terus terbaring disitu. Mencari erti kehidupan, mencari idea. Idea yang membolehkannya lari dari masalah yang timbul dari dirinya. Seseungguhnya dia mahu lari jauh dari kehidupan lampau.
Tapi benarlah kata orang, kelakuan kau akan tercabar bila kau ada segalanya. Bila semuanya ada dalam tangan kau. Ya, dia telah lama berjanji dengan dirinya. Tetapi, kecewanya dirinya kepada dirinya. Segala janji itu busuk menjadi bangkai bunuhannya sendiri. Haruskah dia membuat perjanjian baru dengan dirinya. Dia tahu yang dia sendiri akan membunuh janji itu. Jadi kenapa harus dia membuat perjanjian baru.
Apakah dia perlu biarkan masa membawa segalanya pergi?
"In the blink of an eye, something happens by chance, when you least expect it, sets you on a course that you never planned, into a future you never imagined."
-Nickholas Sparks-
Tidak. Masa telah membawanya terbang keserata tempat. Buruk, cantik mahupun busuk telah diredahnya. Dia tidak lagi percaya kepada masa. Masa bukan jawapan bagi permasalahan yang timbul dalam konflik dirinya.
Apakah lagi dia perlu buat?
Adakah hanya berserah atau hanya lupakan segalanya. Jika ya, bagaimana?
Ketika dia mula berbaring itulah dia mula berfikir kotor dan bersih kehidupannya. Dia perlu keluar. Apakah keluar yang dimaksudkannya itu benar? Apakah dia pasti dengan keputusannya itu? Mahukah dia meninggalkan segala yang menjadikan dirinya kini? Apakah yang mahu dikejarnya dengan berubah? Mahukah jiwanya mengikut kehendak ini? Mahukan dia putarkan kehidupannya tiga ratus enam puluh darjah? Kuatkah dia melawan impak ini?
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."
(Surah ar-Rad: ayat 11).
Agaknya dia telah bersedia untuk melakukan satu lagi perjanjian dengan dirinya itu. Mungkin dia akan terkandas semula ditengah jalan. Siapa tahu? Itu adalah kehendak tuhan.
Jika ini tekadnya, apakah dia akan bersungguh-sungguh? Atau hanya sekadar mengagungkan "tekad"nya. Adakah dia hanya mahu satu dunia tahu mengenai tekadnya dan hanya duduk bersilang kaki?
Apakah yang akan jadi?