Sunday, September 10, 2017

Rantai

Hari itu, aku hanya berada di dalam kotak hitamku. Tiada apa yang aku lakukan. Kaku membilang hari.

Si dinding bersuara "Keluarkanlah si hitam itu dari dadamu. Ku lihat mukamu tidak ubah seperti meja yang tidak bernyawa itu". Pandangan ku beralih kepada meja berwarna merah jambu dihadapanku. Kaku, diam begitu.

Aku beralih kepada dinding. Soalannya yang tidak masuk akal itu aku hadam. Aku bertanya kepada si dinding "Kenapa perlu aku? Kenapa bukan Sang Pencipta yang keluarkan. Bukankah dia yang berkuasa untuk segalanya, bukankah dia akan membantu mereka yang betul-betul mahukannya?".

Dinding diam tidak berkata. Aku tekapkan telingaku dekat kepadanya. "Aku mahukan jawapan." ujarku.

Diam.

Di luar, burung-burung berkicau mendendangkan lagu ejekan. Satu demi satu terbang sambil ketawa. Sekali sekala aku menyelak langsir biru. Ku hanya mampu melemparkan pandangan kepada si bebas itu.

"Kamu tak apalah, tidak perlu berfikir."

Di luar kotak hitamku, terdapat seorang tua sedang bergembira. Berbaju hitam dan dapat dilihat bekas biru disekeliling lehernya.

"Marilah. Tamatkan segalanya dan kau akan gembira selamanya."

Di sudut lain, seorang lelaki tua berkopiah sedang berehat.

"Bertenang dahulu." Ujarnya lemah.

Aku mengalih pandanganku kepada si tua berbaju hitam. Kegembiraan jelas berada di situ. Aku cuba untuk mendekati si tua berbaju hitam.

*Prak*

Kaki ku tersangkut di situ. Aku tidak dapat pergi ke sana. Ku lihat dibawah, rupanya kaki ku dirantai. Aku cuba menjejaki dari mana rantai itu datang. Aku mengikutnya, rupanya puncanya berada di kerusi si tua berkopiah.

Aku mendekati si tua dan cuba untuk melepaskan rantai itu. Susah.

"Si muda, apa yang kau mahukan?"

"Aku nak lepaskan rantai ini"

"Rantai itu hanyalah ilusi wahai si muda. Kau yang letakkan rantai itu." Si tua berkata lemah. Belum sempat aku bertanya, dia menyambung "Kau mampu melepaskan segalanya kerana itu hanyalah dalam pemikiran kau. Aku tak dapat membantumu jika kawalan hati dan akalmu telah lemah. Aku hanya iman yang kecil. Lebih dalam kau cari, kuatlah aku."

"Jadi, kenapa kau lemah wahai si tua?"

"Kau lihat di sana, si tua yang bergembira itu. Hari demi hari ku lihat dia semakin sihat. Tubuhnya semakin muda, kekuatannya luar biasa."

Aku mengalih pandanganku ke arah sana. Ya, dia semakin muda. Si tua bergembira itu semakin muda.

"Boleh aku bertanya?"Ujar si tua, lemah.

"Ya. Silakan"

"Apa yang berlaku dalam kepalamu sekarang?"

No comments:

Post a Comment